fbpx

JDT II menang tipis 3-2 ke atas Selangor FC 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Daryl Sham diberi asakan oleh pemain pertahanan Selangor FC 2 pada perlawanan Liga Perdana di Stadium MPPG, Pasir Gudang malam ini. /FOTO RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) mencatatkan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Selangor FC 2 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), di sini malam ini.

Pemain gantian, Gabriel Nistelrooy Anak Tamin muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada hujung permainan menghadiahkan tiga mata berharga buat pasukan tuan rumah.

Pasukan tuan rumah mendominasi permainan dan dilihat lebih banyak melakukan serangan dalam usaha memburu gol awal.

Pada minit ke-22, Daryl Sham yang berada di sudut sukar melakukan percubaan tepat ke arah gol namun penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman berjaya menafikan percubaan tersebut.

Biarpun pasukan tuan rumah lebih banyak melakukan serangan, pasukan kendalian Rusdi Suparman terlebih dahulu mencipta jaringan menerusi sepakan bebas Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd. Lazim pada minit ke-29.

Nik Muhammad Sharif hampir menambah jaringan dua minit berselang namun peluang keemasan dari jarak dekat itu disia-siakan penyerang itu bagi menambah derita pasukan JDT II.

Ramadhan Saifullah dan Moussa Sidibe yang melakukan serangan di kedua-dua belah sayap tidak berjaya menghasilkan peluang gol untuk disempurnakan oleh Fernando Rodriguez.

Bersambung babak kedua, pasukan kendalian Mariano Echeverria beraksi lebih garang dan hampir meraih gol awal namun tandukan Adam Nor Azlin berpunca sepakan sudut berjaya dihadang pemain Selangor FC II.

Asakan demi asakan dilancarkan akhirnya JDT II dihadiahkan sepakan penalti setelah hantaran Bienvenido Maranon ke dalam kotak penalti mencari Rodriguez terkena tangan pertahanan lawan

Rodriguez tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan penalti menewaskan Sikh Izhan Nazrel bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-53.

Ramadhan hampir meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-55 namun rembatan lencongnya dari sayap kanan sedikit tersasar melewati palang gol lawan.

JDT II menambah gol berpunca daripada gerakan Sidibe sebelum melorongkan bola kepada Rodriguez bagi menggandakan jaringan peribadinya pada minit ke-60.

Khairi Suffian Khaineyusri yang dibawa masuk menggantikan Abdul Rahman Daud hanya memerlukan kurang dua minit untuk mencipta jaringan menolak masuk lorongan bola Fakrul Fareez Aidi untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-76.

Pada minit ke-79, Sidibe mengujikan kecekapan pemain dengan melakukan sepakan voli namun percubaannya itu tidak berupaya menewaskan penjaga gol yang menghidu percubaan tersebut.

Serangan bertali arus di hujung babak permainan menyaksikan pasukan JDT II berjaya mendapatkan gol kemenangan hasil jaringan Gabriel Nistelrooy pada minit akhir menghukum kesilapan lawan mengeluarkan bola dari zon bahaya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI