KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk menewaskan pasukan Brunei Darussalam dengan kemenangan bergaya 4-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad negara yang dikendalikan Kim Pan-gon dilihat menyimpan ‘taring sebenar’ dengan menggabungkan senarai pemain muda dan senior dalam kesebelasan utama dengan jentera serangan diketuai Syafiq Ahmad.
Pasukan kebangsaan yang berada di kedudukan ranking ke-154 dunia membuka tirai jaringan hasil jaringan menerusi tandukan Syafiq yang menyudahkan sepakan sudut yang diambil oleh V. Ruventhiran pada minit ke-16.
Skuad negara dilihat terus ghairah mengasak tetapi hanya mampu menambah gol kedua pada penghujung babak pertama hasil gerakan cantik yang disudahkan oleh pemain tengah, Syamer Kutty Abba.
Bersambung pada babak kedua, Pan-gon telah merombak pasukan dengan memasukkan beberapa pemain utama seperti Guilherme de Paula, Nazmi Faiz Mansor, Safawi Rasid, Liridon Krasniqi dan Dominic Tan.
Situasi tersebut tidak menjejaskan kecemerlangan skuad negara dengan penjaga gol Brunei, Haimie Abdullah Nyaring tewas buat kali ketiga hasil ledakan pemain sayap lincah, Faisal Halim pada minit ke-56.
De Paula melengkapkan kemenangan bergaya pasukan dengan gol keempat hasil jaringan penalti yang disempurnakan pada minit ke-83 selepas Akhyar Rashid dikasari pertahanan pasukan pelawat.
Skuad negara berusaha untuk menambah gol tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas ini pasukan Harimau Malaya akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan menentang Hong Kong pada Rabu depan sebelum mengalihkan tumpuan pada peringkat kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023 bulan depan. – KOSMO! ONLINE