KLANG – Pusat borong GM Klang bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah dalam usaha mempromosi produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari negeri di bawah bayu tersebut.
Kerjasama itu turut melibatkan peruntukan tiga lot kedai sebagai kedai runcit dan pameran produk PKS Sabah di GM Klang seawal Julai tahun ini.
Pengarah urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk membawa masuk pelbagai produk terutama produk buatan tempatan ke pusat borongnya.
“Ini akan membantu meningkatkan produktiviti tempatan kerana pengunjung GM Klang bukan sahaja penduduk tempatan, tetapi juga dari negara seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Eropah dan Asia Tengah.
“Setiap produk akan dipamerkan bersama dengan maklumat terperinci tentang produk itu sendiri serta maklumat hubungan pengeluar, membolehkan pembeli menghubungi pembekal atau pengilang secara terus,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menandatangani perjanjian kerjasama dengan pengarah DIDR, Tseu Kei Yue yang disaksikan Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam.
Sementara itu Joachim berkata, berdasarkan perjanjian tersebut GM Klang akan memberikan ruangan percuma selama setahun untuk produk dari Sabah dipasarkan di pusat borong berkenaan.
“Langkah ini boleh memajukan industri pelancongan domestik bagi Sabah sendiri,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE