PARIS – Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) mengambil keputusan untuk membatalkan perlumbaan Grand Prix (GP) Finland yang sepatutnya berlangsung di Litar KymiRing, Iitti pada 10 Julai depan.
Ia sepatutnya menjadi perlumbaan pertama saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang diadakan di Finland dalam tempoh 40 tahun, namun ia terpaksa dibatalkan oleh sebab situasi geopolitik negara itu.
Finland dan Sweden telah bersetuju menjadi sebahagian daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) disebabkan pencerobohan ke atas Ukraine sekali gus menimbulkan kemarahan Rusia.
“FIM, IRTA dan Dorna Sports rasa bertanggungjawab dan mengumumkan perubahan dalam kalendar saingan MotoGP musim ini.
“Homologasi di Litar KymiRing dengan risiko-risiko boleh tercetus disebabkan situasi geopolitik yang berterusan di rantau ini. Oleh itu, dengan berat hati kami terpaksa membatalkan GP Finland musim ini.
“Bukan itu sahaja, situasi semasa juga menyebabkan berlakunya kelewatan dan menjadikan banyak kerja yang sedang dilakukan di litar baharu itu berdepan risiko,” menurut kenyataan rasmi daripada FIM.
Pembatalan itu menyaksikan Finland terpaksa menunggu semusim lagi sebelum ia dianjurkan semula mengikut jadual MotoGP yang ditetapkan tahun depan.
Perlumbaan seterusnya bagi saingan MotoGP musim ini dijadualkan pada GP Itali di Litar Mugello pada Ahad ini.
Sebagai rekod, juara dunia dari pasukan Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo kini mendahului carta keseluruhan dengan 102 mata, empat mata meninggalkan pencabar terdekatnya di kedudukan kedua iaitu pelumba Aprilia Racing, Aleix Espargaro. – AGENSI