PELUMBA Honda Asia-Dream Racing Team Showa, Mohd. Zaqhwan Zaidi berazam untuk memburu kejayaan di negara sendiri pada perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 27 hingga 29 Mei ini.
Menurutnya, berlumba di tempat sendiri seakan-akan memberi satu suntikan semangat setelah dua tahun tidak berlumba akibat pandemik Covid-19.
“Saya tidak mempunyai strategi khusus sehingga menyebabkan saya berasa tertekan di atas litar.
“Berlumba dengan pelumba senegara memerlukan saya mengatur strategi tersendiri untuk berada di atas podium,” katanya selepas sesi Bertemu Peminat Dan Promosi ARRC 2022 di Pusat Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam semalam.
Turut hadir pelumba dari pasukan bertanding seperti Azlan Shah Kamaruzaman, Adam Noroddin, Ahmad Afif Amran dan Kasma Daniel Kasmayudin.
Terdahulu, Mohd. Zaqhwan berjaya mendominasi perlumbaan pertama kategori Asian Superbikes 1000 (ASB1000) ARRC 2022 di Thailand.
Pelumba berusia 27 tahun itu mengungguli perlumbaan di Litar Antarabangsa Chang membabitkan 13 pusingan sejauh 59.202 kilometer (km) dengan catatan masa 21 minit dan 04.947 saat (s).
Sementara itu, seorang lagi pelumba kategori sama dari pasukan Yamaha, Kasma Daniel berkata, beliau menganggap saingan utama adalah daripada pasukan Honda.
“Walaupun begitu, saya akan cuba memberi yang terbaik untuk menyaingi pelumba yang lain dalam kategori sama.
“Saya berharap sokongan daripada peminat-peminat tempatan mampu memberi semangat kepada saya untuk mencabar pelumba lain termasuk dari luar,” katanya.