HAMPIR sedekad ‘bertapa’ dalam industri seni hiburan tanah air, entah apa yang kurang pada diri penyanyi Amira Othman, dia masih berada di kedudukan yang sama.
Tidak banyak berubah sejak saat namanya diperkenalkan dalam industri sekitar 2013 silam. Ibarat sekadar hadir memeriahkan industri muzik tempatan, tidak banyak cerita kejayaan sebagai penyanyi yang boleh dikongsi Amira.
Amira atau nama lengkapnya Nadia Amira Othman sendiri sedar namanya jauh tertinggal berbanding barisan penyanyi ternama lain yang menempuh kejayaan dan populariti meledak tidak sampai lima tahun berada dalam industri.
Biarpun pernah mengeluarkan beberapa single dengan karya terakhirnya berjudul Tragedi sekitar September tahun lalu, Amira masih di tahap sama, namun tetap tidak berputus asa dan mengharapkan lagunya meledak sekali gus menjadi perhatian ramai.
Pentas AJL
Kata penyanyi berusia 29 tahun itu, sama seperti penyanyi-penyanyi lain, dirinya juga menyimpan impian untuk beraksi di mana-mana pentas besar, khususnya pentas Anugerah Juara Lagu (AJL). Selama hampir 10 tahun berada dalam industri, dia belum pernah sekali pun berpeluang membuat persembahan dalam majlis anugerah berprestij.
“Hampir 10 tahun dalam industri, pentas Akademi Fantasia adalah platform paling besar yang pernah saya beraksi. Itu pun sebagai peserta program tersebut pada 2013.
“Pengalaman tersebut bagaimanapun berbeza kerana saya idamkan untuk membuat persembahan di pentas besar lain seperti AJL. Saya masih menyimpan harapan dan berharap supaya diberikan kesempatan. Dapat sekali pun sudah cukup,” luahnya.
Pada masa sama, penyanyi bertubuh tinggi lampai itu masih bersikap positif dan tidak terlalu ‘terdesak’ untuk beraksi di pentas yang diidamkan andai tiada rezeki, namun berharap agar lagu nyanyiannya mendapat tempat di hati peminat.
Ujar penyanyi kelahiran Skudai, Johor itu, dia pernah dijulang bahagia apabila single pertamanya berjudul Hati-Hati mendapat tempat di hati dan telinga pendengar suatu ketika dahulu.
“Saya mengharapkan lagu saya diterima baik dan menjadi siulan ramai seperti lagu Hati-Hati. Apabila buat persembahan, penonton sama-sama menyanyi bersama saya. Itu satu kepuasan sebagai seorang penghibur.
“Jauh di sudut hati, saya tidak mengimpikan anugerah, cuma saya harapkan lagu-lagu dihargai dan didengari. Faktor itulah yang akan buatkan saya terus kekal relevan dalam industri nanti,” pintanya.
Walaupun masih gigih ‘mendaki’ puncak populariti sehingga ke hari ini, tidak sekali pun rasa putus asa terlintas di dalam hatinya, jauh sekali hasrat ingin mengundur diri sebagai penyanyi.
Bahkan, Amira yang merupakan kakak kepada penyanyi Irfan Haris bersyukur walaupun namanya tidak berdiri sebaris dengan penyanyi-penyanyi berkelas ‘A’, namun pintu rezekinya dalam bidang nyanyian sentiasa terbuka.
“Putus asa? Saya tidak pernah terfikir mengenainya. Sebaliknya saya bersyukur kerana masih dikenali.
“Sebenarnya di sebalik rasa ingin putus asa, ada banyak lagi perkara yang perlu saya syukuri kerana masih menerima undangan untuk mengadakan persembahan. Itu adalah satu rezeki yang saya tidak sangka sebenarnya.
“Lagipun, menyanyi adalah sumber rezeki dan periuk nasi saya. Bagaimana saya boleh terfikir untuk berputus asa?” katanya.
Cipta kontroversi
Ketika disoal tentang ‘jalan singkat’ untuk meraih populariti melalui kisah kontroversi, Amira mengakui pernah terfikir untuk mencipta gosip ‘manja’ supaya namanya meledak sekali gus dikenali orang ramai.
Dia tidak menolak fakta bahawa kontroversi boleh membuatkan nama seseorang artis menjadi besar dan lebih dikenali peminat agar terus kekal berada dalam industri.
“Perkara tersebut memang benar. Mungkin saya juga perlu cipta satu kontroversi untuk menaikkan nama sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, Amira buntu dan tidak punya idea untuk mencipta populariti, ditambah dengan perasaan bimbang jika kontroversi yang sengaja dicipta itu akan membusukkan namanya serta keluarga.
“Sebenarnya saya okey kalau kontroversi atau gimik tidak bercanggah dengan imej saya. Cuma saya tidak ada idea buat masa ini.
“Ramai juga yang mencadangkan supaya saya buat gimik. Tapi saya fikir perkara itu tidak mudah. Saya menjadi jurucakap untuk banyak produk dan perlu memikirkan nama baik juga,” katanya.
Jodoh
Berbicara soal hati, penyanyi berwajah manis itu mendedahkan dirinya pernah menyasarkan untuk mengakhiri zaman bujang sebelum menginjak usia 30 tahun.
Namun soal jodoh, tiada siapa yang dapat melawan ketentuan yang telah ditetapkan oleh-Nya. Kata Amira, buat masa ini dia sendiri belum pasti waktu terbaik untuknya menukar status diri menjadi isteri orang.
“Saya pernah berniat dalam hati untuk menamatkan zaman bujang sebelum usia 30 tahun, tetapi nampak gayanya belum ada nampak bayangan saya akan berkahwin dalam masa terdekat.
“Saya sendiri tidak pasti bila tetapi mengharapkan peminat dapat mendoakan saya agar dipertemukan jodoh dengan seorang lelaki yang baik,” katanya.
Mengakui sering diasak tentang perkahwinan, Amira tidak berasa tertekan dengan soalan tersebut, jauh sekali untuk mengambil hati.
Jika disoal lagi tentang sasarannya untuk menamatkan zaman bujang, dia hanya berserah pada jodoh dan tidak menolak berkahwin pada bila-bila masa.
“Sekarang saya tidak lagi punya sasaran usia untuk menamatkan zaman solo. Saya terima sahaja.
“Saya pun tidak terlalu memilih untuk mencari calon suami. Cuma saya berharap agar lelaki itu boleh menjadi seorang suami dan bapa yang baik kepada anak-anak kami nanti,” tutupnya.