PETALING JAYA – Gara-gara tidak tahan dengan kesesakan lalu lintas yang semakin teruk dan banjir yang sering berlaku di Kuala Lumpur, orang ramai berseloroh di media sosial dengan mencadangkan untuk memindahkan ibu negara itu ke negeri lain.
Cadangan itu dicetuskan selepas seorang individu yang dikenali sebagai Injang Nation memuat naik ciapan di akaun Twitternya mengenai masalah yang kini merimaskan hidup warga kota.
“Kuala Lumpur terlalu banyak masalah, satu caranya pindahkan sahaja ibu negara, cari kawasan lain yang belum membangun, kemudian bangunkan kawasan itu. Jangan buat pembangunan sehingga jadi sesak, hujan dan banjir,” selorohnya.
Susulan itu, orang ramai mula menyokong langkah untuk menukarkan ibu negara Kuala Lumpur ke negeri lain.
“Pindah ke kawasan tinggi, macam Janda Baik, kurang risiko banjir, stabil dan tidak jauh dari ibu kota lama Kuala Lumpur,” komen Hafizuddin.
“Pendapat aku pindah ke Borneo pula. Bina Kuala Lumpur di sebelah sana sementara sebelah Semenanjung ini ‘dibaik pulih’,” kata pengguna lain. – KOSMO! ONLINE.