LONDON – Paris Saint-Germain dilaporkan bersedia untuk memberikan cabaran kepada Manchester United dalam usaha untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Barcelona, Frenkie De Jong musim panas nanti.
Pemain antarabangsa Belanda itu kini sedang bersiap sedia untuk meninggalkan Camp Nou dan dikaitkan ke Old Trafford untuk kembali bersama bekas jurulatihnya, Erik Ten Hag yang dilantik sebagai pengurus baharu United.
Bagaimanapun, PSG tiba-tiba muncul menyatakan minat mereka untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 25 tahun berkenaan dengan tujuan untuk memantapkan lagi bahagian tengah pasukan berkenaan.
PSG sebelum ini pernah mencuba untuk mendapatkan De Jong ketika dia masih bersama Ajax Amsterdam pada 2019, namun pemain itu membuat keputusan untuk menyertai Barcelona.
Tawaran untuk mendapatkan De Jong dipercayai akan bermula pada nilai £68 juta (RM375 juta) selepas Barcelona mahu mendapatkan keuntungan selepas membelinya dengan harga £65 juta (RM358.45 juta) sebelum ini.
Selepas menyertai Barcelona, De Jong telah melakukan 48 penampilan dalam semua kejohanan dan berjaya meledak empat gol bersama pasukan itu.
Ten Hag dilaporkan terdesak untuk mendapatkan pemain tengah ekoran persembahan buruk pasukan itu musim ini selain mereka bakal berdepan kehilangan Paul Pogba, Nemanja Matic dan Juan Mata. – AGENSI