SHAH ALAM – Prosedur melawat pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dilaksanakan selaras dengan Polisi Pelawat dan Penjaga yang ditetapkan hospital itu.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, pihaknya memandang serius isu tular mengenai waris pesakit yang mendakwa perlu melalui prosedur ketat biarpun sudah diberikan kebenaran oleh pegawai perubatan.
Jelas beliau, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengumumkan kebenaran kehadiran pelawat dan penjaga hadir di fasiliti kesihatan semula bermula 23 April lalu selain menggariskan Tatacara Pelawat dan Penjaga.
“Susulan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sudah membuat edaran polisi berkenaan ke semua fasiliti di negeri ini.
“Bagi HTAR, satu Mesyuarat Penyelarasan Polisi Pelawat dan Penjaga diadakan pada 25 April lalu bagi merangka Polisi Pelawat dan Penjaga khusus untuk hospital itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sha’ari berkata, objektif utama polisi itu bertujuan mengawal kesesakan di wad HTAR ketika waktu melawat.
“Langkah itu antaranya dengan mengeluarkan pas lawatan supaya pihak pengurusan wad dapat menentukan jumlah pelawat pada setiap satu sesi lawatan.
“Seorang pelawat hanya dibenarkan melawat pesakit selama 30 minit dan kapasitinya bergantung kepada jumlah pesakit dalam satu wad namun tidak melebihi 50 orang,” katanya.
Tambah beliau, penambahan pelawat bagaimanapun boleh dibenarkan bagi kes kes tertentu dan diubahsuai mengikut keadaan .
“Justeru, polisi itu dilaksanakan untuk tujuan baik dan tiada halangan ke atas pelawat yang ingin menziarah pesakit.
“Namun, ia perlu mematuhi garis panduan sedia ada dan JKNS akan memastikan peraturan itu dikuatkuasakan sebaik mungkin,” katanya. -KOSMO!ONLINE