fbpx

Polis cari Angah Pendek bantu siasatan kes curi buah sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan 19 tandan buah sawit ada di dalam kereta suspek di lokasi kejadian di Felda Raja Alias 4, Bandar Seri Jempol, 21 Mei lalu. - Foto IHSAN POLIS

JEMPOL – Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan saksi iaitu seorang lelaki yang lebih dikenali dengan nama panggilan Angah Pendek bagi membantu siasatan berkaitan kes curi buah sawit, 21 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, individu dengan nama sebenar Mohd. Zulkefli Shahari, 36 , yang juga rakyat Malaysia itu adalah bagi siasatan kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan berdasarkan laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol.

“Alamat terakhir Angah Pendek adalah di Felda Raja Alias 4, Bandar Seri Jempol.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan individu tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Razif Karim di talian 013-9961566 atau Bahagian Siasatan Jenayah IPD Jempol di talian 06-4582222,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan saksi iaitu seorang lelaki yang lebih dikenali dengan nama panggilan Angah Pendek bagi membantu siasatan berkaitan kes curi buah sawit. – Foto IHSAN POLIS

Dalam pada itu, Chang Hook berkata, lokasi berlakunya kes berkenaan adalah di Ladang Sawit Felda Raja Alias 5 apabila terdapat pencerobohan di kawasan ladang pada pukul 8 pagi dan pihaknya telah ke lokasi bersama polis bantuan.

Menurutnya, dua lelaki telah ditangkap oleh pasukan polis bersama sebuah kereta jenis Proton Wira yang berisi buah sawit di dalam kereta tersebut.

“Polis dan penyelia ladang telah membuat pemeriksaan dan mendapati 19 tandan buah sawit ada di dalam kereta suspek dan pemeriksaan selanjutnya dapati beberapa batang pokok ada kesan baru buah sawit dipetik.

“Soal siasat ke atas kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes berkenaan bersama seorang lagi yang masih bebas. Mereka mengambil dan mengangkut buah sawit di tempat kejadian dengan menggunakan kereta yang dirampas,” ujarnya.

Menurutnya, semakan mendapati pemilik kereta yang dirampas adalah milik kepada bapa suspek yang masih bebas.

“Kedua-dua suspek yang ditangkap telah dibuat saringan ujian air kencing dan didapati kedua-dua mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil semakan juga mendapati salah seorang suspek mempunyai empat rekod lampau penyalahgunaan dadah termasuk satu kes dikehendaki oleh pihak polis,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek telah direman selama empat hari bermula 22 Mei lalu dan salah seorang daripada suspek telah dituduh di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI