fbpx

Penyelia Rela dipenjara 14 hari, denda RM10,000 buat tuntutan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
S Vijaiyan, 56, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan membuat tuntutan penugasan palsu. - Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Seorang penyelia Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dipenjara 14 hari dan didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu penugasan seorang anggota Rela berjumlah RM960 pada Disember tahun lalu.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, S. Vijaiyan, 56, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara lima bulan dan hukuman penjara 14 hari bermula dari tarikh jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penyelia telah menggunakan dengan niat untuk memperdayakan prinsipal, suatu dokumen iaitu Borang Tuntutan Elaun Penugasan Rela bagi penugasan di sebuah pusat kuarantin Covid-19 atas nama seorang anggota Rela wanita berjumlah RM960 bagi bulan November 2021.

Pemohon dikatakan hadir bertugas di pusat kuarantin itu pada tarikh dan masa yang dicatatkan pada borang tuntutan, walhal tertuduh tahu sebenarnya pemohon tidak hadir bertugas pada tarikh dan masa yang dicatatkan tersebut.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat Rela daerah Seremban pada Disember 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum  di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.

Dalam pada itu, mahkamah telah melepas dan membebaskan tertuduh bagi enam pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah, selepas mengambil kira pengakuan bersalah serta persetujuan pihak pendakwaan dan tertuduh untuk mengguna pakai TIC (Take Into Consideration).

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali, manakala peguam, R. Subash mewakili tertuduh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI