fbpx

Peletakan jawatan itu hak individu – Annuar Musa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar ketika bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri K-KOMM dan Majlis Sekalung Budi Pengamal Media, Penggiat Seni dan Industri Kreatif, di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Keputusan Datuk Zuraida Kamaruddin keluar daripada parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), serta peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi disifatkan sebagai hak individu dan perlu dihormati.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau bagaimanapun baru sahaja mendapat berita mengenai perkara tersebut dan belum berkesempatan untuk bercakap sendiri dengan rakan sejawatnya yang sama-sama menganggotai Kabinet itu.

“Beliau (Zuraida) merupakan sahabat dalam gabungan kerajaan, sama-sama dalam Jemaah Menteri. Itu hak beliau dan menjadi urusan dalaman Bersatu yang kita harus hormati.

“Saya sendiri baru sahaja mendapat berita mengenai perkara itu dan tidak dapat memberi banyak komen mengenainya namun saya boleh katakan bahawa beliau (Zuraida) seorang anggota Kabinet yang cukup aktif dan sangat berjaya dalam menguruskan hal kementeriannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dan Majlis Sekalung Budi Pengamal Media, Penggiat Seni dan Industri Kreatif, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Annuar berkata, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 kelak, semua orang berhak untuk membuat jajaran politik masing-masing sama ada secara berkumpulan, antara parti politik atau individu dengan parti politik masing-masing.

“Itu adalah perkara biasa dan semua orang ada sebab tersendiri sewaktu membuat keputusan yang kita perlu hormati,” ujar beliau.

Terdahulu, Zuraida menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan tentang keputusannya untuk meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Jelasnya, selari dengan keputusan itu, beliau juga telah memutuskan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) kerana tertarik dengan enam prinsip terasnya.

Zuraida turut memakluman akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai kedudukannya sebagai menteri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI