JOHOR BAHRU – Parti Bangsa Malaysia (PBM) memaklumkan pihaknya masih belum menerima borang keahlian daripada Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Naib Presiden Muda PBM, Muhammad Saiful Bahari Sahari bagaimanapun mengesahkan Pejabat Setiausaha Agung PBM telah menerima permohonan daripada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia itu.
Menurut beliau, borang keahlian masih belum dapat diserahkan kerana Zuraida sedang berada di luar negara bagi mengikuti lawatan rasmi.
“Pejabatnya (Zuraida) ada menggunakan pejabat Setiausaha Agung PBM dan nyatakan pendirian untuk beliau menyertai, tetapi buat masa ini borang keahlian masih belum dapat diberikan.
“Dia kini berada di Turki untuk satu lawatan rasmi, selepas itu dimaklumkan dia akan ke Greece pula dan dijangka akan pulang ke tanah air pada 2 Jun ini.
“Jadi kemungkaran besar urusan pendaftaran keahliannya akan diselesaikan selepas itu,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu, Zuraida mengumumkan pendiriannya untuk keluar daripada parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai PBM setelah membuat pertimbangan dengan teliti dan mendalam.
Tambah Muhammad Saiful Bahari, pihaknya melihat keputusan dibuat Zuraida itu akan memberi kesan positif kepada parti berkenaan yang dilihat masih baharu dalam arena politik tempatan.-KOSMO! ONLINE