WATAK Ayu dalam filem KKN Di Desa Penari. Itulah peranan yang berjaya ‘merasuk’ para penonton di pawagam tempatan sejak beberapa minggu lalu.
Semuanya tercetus selepas dia muncul dengan beberapa babak menari untuk penduduk kampung dengan tarian Gandrung.
Meskipun watak Ayu dibenci, namun impaknya berjaya meninggalkan bekas dalam diri penonton sehingga tular menerusi media sosial.
Tetapi siapa sangka, di sebalik fenomena watak itu, pelakonnya, Aghniny Haque sebenarnya merupakan bekas atlet sukan taekwondo sekitar 2011.
Hebatnya wanita berusia 25 tahun itu, dia juga pernah mewakili Indonesia dalam beberapa acara sukan peringkat antarabangsa.
Malang tidak berbau, selepas menyertai beberapa acara sukan, kecederaan kakinya membuatkan dia terpaksa melupakan seketika karier sebagai seorang atlet.
Akan tetapi, tak ubah seperti jalan cerita dalam filem mahupun drama yang ada ‘plot twist’, kecederaan tersebut sebaliknya memberi sinar baharu dalam hidup Aghniny apabila rezeki dalam bidang lakonan terbuka luas sehingga berjaya menempatkan diri sebagai pelakon pembantu menerusi filem sulung lakonannya, Wiro Sableng.
Tidak terhenti di situ, dia terus memahat nama sebagai pelakon dalam beberapa buah filem lain antaranya Perempuan Tanah Jahanam serta Habibie dan Ainun 3.
Dulu atlet, kini pelakon
Tiada sedetik rasa sesalan dalam diri meninggalkan kerjaya sukan, anak kelahiran Semarang, Jawa Tengah itu optimis bahawa terdapat peluang lain yang mampu menghidupkan semula dirinya iaitu bidang seni.
“Mungkin ini jalan terbaik yang Tuhan mahukan untuk saya. Ketika hampir hilang harapan terhadap diri sendiri kerana kecederaan, dia bukakan jalan lain membangkitkan kembali semangat sekali gus menghidupkan semula seorang wanita bernama Aghniny,” katanya.
Membezakan dirinya sebagai seorang atlet dan aktres, dia melihat dunia lakonan lebih selesa serta mudah.
“Selepas mencuba kedua-dua bidang, saya sudah tahu apa yang diri mahukan.
“Jujurnya, saya agak bingung ketika mula menceburi bidang hiburan. Terfikir apa yang boleh saya berikan dan kejar.
“Selepas beberapa buah filem, saya mula nampak hala tuju dan lebih selesa berlakon dalam naskhah bergenre aksi. Kalau boleh saya mahu dikenali sebagai pelakon aksi wanita terbaik di Indonesia,” ujarnya.
Ledakan watak Ayu
Tidak sah sekiranya hanya berbicara tentang Aghniny tetapi melupakan cerita mengenai watak Ayu yang digalasnya dalam filem pecah panggung, KKN Di Desa Penari.
Paling memukau perhatian ketika babaknya menari di sisi Badarawuhi (Aulia Sarah), sekali gus membuatkan Aghniny layak diberikan markah penuh kerana babak fenomena tersebut.
“Ayu merupakan seorang wanita lemah lembut dan perwatakannya berbeza 180 darjah berbanding saya yang agak lasak dan tomboy. Paling kelakar apabila watak Ayu juga seorang penggoda. Jadi, saya harus mencari dan menjadi lebih ‘wanita’,” kongsinya.
Bercakap tentang tariannya, wanita berwajah klasik itu mengakui perkara tersebut turut mencabar kemampuan dirinya yang pernah bergelar atlet.
“Pada awalnya, gerakan tubuh saya sangat kaku sehingga memaksa diri berlatih lebih keras berbanding pelakon lain. Setiap masa saya berlatih, tanpa pernah rasa jemu.
“Mungkin kaku kerana saya seorang atlet. Saya dikerah habis-habisan oleh guru tarian. Pelakon lain berlatih tiga kali seminggu tetapi saya setiap hari!
“Tarian Gandrung memerlukan saya bermain dengan ekspresi muka dan gerakan yang pantas. Syukur kerana semua menyukainya,” kata Aghniny yang pada awalnya hadir uji bakat untuk dua watak iaitu Ayu dan Widya.