SELEPAS mencipta fenomena tersendiri menerusi karya berjudul Paskal dan Wira, sutradara hebat, Adrian Teh kembali memeriahkan dunia sinematik tanah air menerusi filem aksi thriller berjudul The Assistant.
Biarpun menerima reaksi pelbagai daripada para penonton, tidak dapat dinafikan bahawa filem berkenaan terkandung kualiti yang layak untuk dicanang dan diberikan perhatian audiens.
Sebenarnya, ramai yang mengkritik naratif atau jalan cerita naskhah tersebut, namun baik Adrian mahupun penulis bersama skrip filem berkenaan, Chi-Ren Choong mempunyai alasan tersendiri mengapa naskhah terbabit diterjemah sedemikian rupa.
Naratif ‘pening’
Buat mereka yang sudah menonton, pasti tahu perihal apa yang menjadi polemik atau perdebatan utama audiens pada penghujung filem.
Buat penulis secara peribadi, bukan perkara tersebut yang menjadi permasalahan utama tetapi ada ‘lompong’ lain yang boleh diperbaiki.
Sebagaimana Scarlett Johansson bertukar menjadi peranti teknologi atau USB dalam filem Lucy, begitu juga keterbukaan penulis untuk dideraskan adrenalin bertemu pengakhiran sesuatu karakter dalam sesebuah filem.
Pertama sekali, dari segi terjemahan karakter, Iedil sebagai Zafik dan Hairul (Feroz) menjalankan peranan selaku bintang utama filem dengan sebaik mungkin.
Iedil merupakan seorang aktor yang hebat dan berkarisma dan itu telah ditonjolkan menerusi karakter Zafik.
Terjemahan karakter
Pelakon itu berjaya membuktikan, dengan karakter yang dipertanggungjawabkan kepadanya, audiens boleh merasai kesengsaraan, penyesalan dan nurani seorang bekas banduan yang dikhianati dan terpaksa meringkuk di sebalik tirai besi atas dosa tidak dikerjakannya.
Dalam pada itu, karakter Feroz yang dijayakan oleh Hairul juga tidak mengecewakan biarpun ramai yang berpendapat, pelakon itu menjadi penyebab mengapa The Assistant kurang berbisa.
Secara peribadi, tiada cela yang banyak tentang karakter Feroz, cuma barangkali ramai yang mengharapkan ada ‘nafas baharu’ dari bangku pengarah yang seringkali berkolaborasi dengan Hairul.
Ya, Feroz membuka lembaran baharu buat Hairul sebagai seorang pelakon, namun tidak banyak yang boleh dicanang.
Dari sudut babak aksi, Hairul memang juara di gelanggang tersebut dan elemen itu disambut baik rakan atau barisan pelakon yang lain termasuk Iedil dan jua villain atau penjahat, Sam (Henley) dan Sofia (Farali Khan).
Villain bagus
Karakter Sam yang dijayakan Henley berdiri di posisi yang sebetulnya dan apa yang menarik perhatian serta fokus penulis adalah terjemahan karakter Sofia dijayakan oleh Farali.
The Assistant berjaya memberi anjakan bahawa aktres berkenaan harus diberikan ruang dan peluang yang lebih luas oleh pengarah serta produser tanah air.
Babak aksi yang dijayakan aktres yang berpangkalan di Indonesia itu memang wajar diberikan pujian kerana dilaksanakan dengan cukup cemerlang.
Apatah lagi apabila mengetahui adegan melibatkan aksi dan bernuansa sedemikian dijayakan dirinya sendiri.
Dari aspek teknikal seperti efek bunyi dan sinematografi, tidak keterlaluan jika disifatkan The Assistant antara yang terbaik dalam gelanggang filem tempatan selepas lebih dua tahun panggung sinematik tanah air terdampak pandemik Covid-19.
The Assistant menceritakan tentang Zafik, (Iedil Dzuhrie) yang terpaksa meringkuk di dalam penjara atas kesalahan yang tidak dilakukannya.
Selepas kehilangan segalanya, Zafik ingin mencari pembunuh isteri dan anak lelakinya sekali gus membalas dendam sewaktu di dalam penjara.
Selepas dibebaskan, dia bertemu Feroz (Hairul Azreen) dan bangkit demi mencari keadilan atas apa yang dilaluinya selama ini.