WALAUPUN terpaksa bersaing dengan rakan sepasukan yang berada di puncak prestasi, namun penjaga gol Selangor FC, Khairulazhan Khalid akan terus menyematkan impian dan tekad untuk merebut tempat kesebelasan pasukan pada Kelayakan Piala Asia 2023 bulan depan.
Pada masa ini, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon telah menyenaraikan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias dan Ahmad Syihan Hazmi (Negeri Sembilan FC), selain tonggak PJ City, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi bagi sesi latihan.
“Kita tahu semua penjaga gol yang dipanggil ada kelebihan masing-masing. Jika disoal kelebihan saya, mungkin hanya jurulatih yang boleh nampak kerana saya sebagai pemain hanya perlu buat terbaik dalam latihan.
“Mungkin (kegagalan skuad Sukan SEA) ada beri tekanan kerana peminat mahu lihat kejayaan mampu dicapai. Tetapi kita akan bermain di tempat sendiri dan sudah pasti pemain mahu berikan aksi terbaik.
“Sokongan peminat beri kelebihan kepada kita malah pemain juga tahu apa yang patut dilakukan, sama ada dalam perlawanan sebenar atau pun persahabatan,” katanya.
Berdasarkan beberapa perlawanan lalu, Farizal mungkin dijangka mendapat tempat selaku pilihan utama, namun prestasi semasa Ahmad Syihan juga cukup memberangsangkan hingga mendapat pujian daripada ramai pihak.
Sedar persaingan hebat bakal menantinya, Khairulazhan atau lebih dikenali sebagai Yan enggan terlalu menekan dirinya dan paling penting adalah menghadirkan perebutan tempat secara sihat.
“Belum tahu siapa lagi yang akan main. Biarlah jurulatih yang buat keputusan siapa yang akan main atau pun berada dalam senarai. Kami hanya perlu beri sehabis baik setiap kali latihan mahupun jika diberi peluang beraksi.
“Buat penyokong, kita akan bermain di tempat sendiri, jadi datangkan ke stadium untuk berikan sokongan kepada pasukan. Pemain begitu memerlukan sokongan daripada anda semu