fbpx

Johor Jewels calon juara Netball Super League

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIAN KER (belakang, empat dari kanan) bersama Alwiyah (belakang, empat dari kiri) bergambar dengan barisan penaja dan ketua pasukan bola jaring yang akan bersaing pada NSL 2022 bermula 3 Jun depan. – AFIQ RAZALI

FINALIS musim lalu, Johor Jewels disebut-sebut sebagai pilihan utama untuk menjuarai edisi kedua Netball Super League (NSL) yang dilancarkan secara rasmi semalam sebelum mem­buka gelanggang di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur bermula 3 hingga 26 Jun ini.

Ia susulan kehadiran empat tonggak baharu termasuk dua pemain import dari Sri Lanka dan Thailand yang sememang­nya menguatkan lagi kemam­puan naib juara edisi sulung itu.

Selain itu, Johor Jewels juga berjaya menyambar khidmat bintang Selangor Angels yang merupakan penjaring terbanyak musim lalu, An Najwa Azizan dan kapten Kuala Lumpur (KL) Wildcats, Nur Syafazliana Mohd. Ali.

Begitupun, ketua jurulatih Johor Jewels, Fazira Mesnan enggan terlalu yakin biarpun diperkuatkan dengan dua aset terbaik negara, sebaliknya menyifatkan peluang tetap terbuka kepada semua pasukan.

“Persaingan kali ini akan le­bih rancak dan terbuka kerana penambahbaikan NSL musim kedua dari segi jumlah bilangan atlet. Setiap pasukan juga boleh ambil dua pemain dari negeri lain dan dua import luar negara.

“Johor kali ini dapat Syafaz­liana dan An Najwa, selain bekas pemain Sri Lanka serta Thailand. Saya dengar-dengar pasukan lain juga ada mengambil import dari negeri lain.

“Buat masa ini, kami masih lagi dalam fasa persediaan. Tekanan pastinya ada buat Johor, tetapi kami tidak terlalu yakin dan akan usahakan yang terbaik,” katanya.

Saingan NSL yang dilancarkan di Astro Bukit Jalil itu turut me­nyaksikan kehadiran Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker; Presiden Persa­tuan Bola Jaring Malaysia, Alwiyah Talib dan wakil-wakil penaja serta pemain daripada lapan pasukan bertanding.

Kosmo! kekal menjadi media rasmi bagi musim kedua NSL, selain beberapa penaja lain seperti Kementerian Belia dan Sukan, Era FM, Ticket Hotline, Sooka, Kaki Jersi dan produk makanan, KKMY!

Selain Johor Jewels, turut bertanding adalah juara bertahan, KL Wildcats, Selangor Angels, Perak Phoenix, Kedah Sunshine, Negeri Sembilan (NS) Venom, Pahang Tulips dan Melaka Mystic.

Para peminat boleh membeli tiket di www.tickethotline.com.my bermula hari ini untuk me­nyaksikan NSL 2022 di Stadium Juara pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 3 sehingga 26 Jun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI