fbpx

India hadkan eksport gula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pekerja memeriksa gula yang dibungkus di kilang penapisan gula Triveni di Bulandshahr pada 23 Januari 2019. - AFP

NEW DELHI – Kerajaan India mengumumkan bakal mengehadkan eksport gula negara itu sebagai langkah berjaga-jaga untuk melindungi sumber makanan domestik, lapor laman berita Pehal News, kelmarin.

Ia merupakan sekatan kedua yang diumumkan India selepas melarang eksport gandum pada minggu lalu.

Pihak berkuasa negara itu akan mengehadkan eksport gula pada kadar 10 juta tan bagi tempoh pemasaran selama 12 bulan (2021 hingga 2022) sehingga September ini.

Tindakan tersebut selaras dengan pengumuman rasmi daripada Kementerian Makanan, lewat kelmarin.

Tujuannya adalah untuk mengekalkan ketersediaan gula di rumah dan melindungi pembeli dengan mengekalkan harga siling pasaran.

India adalah pengeksport gula kedua terbesar dunia selepas Brazil sejak 12 bulan terakhir dan menganggap Bangladesh, Indonesia, Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebagai pelanggan utamanya.

Awal bulan ini, India mengejutkan pasaran makanan dunia apabila menghentikan eksport gandum selepas gelombang panas memusnahkan beberapa tanaman dan menyebabkan kenaikan harga siling makanan asas.

Keputusan beberapa negara terutamanya di rantau Asia untuk menghentikan jualan kasar kini semakin ketara dalam beberapa minggu terakhir menuju bulan keempat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Langkah terbaharu yang turut diambil negara Asia termasuk sekatan eksport minyak sawit Indonesia baru-baru ini dan kini, penghentian jualan kasar ayam dari Malaysia di pasaran antarabangsa.

India diramal menghasilkan 35 juta tan gula pada musim ini dan menggunakan 27 juta tan bagi keperluan domestik, demikian menurut Persatuan Kilang Gula India.

Sekiranya mencampur stok simpanan musim akhir iaitu kira-kira 8.2 juta tan, negara itu mempunyai lebihan bekalan gula sebanyak 16 juta tan dengan tambahan 10 juta tan yang sepatutnya dieksport.

Jumlah eksport gula India tidak pernah merekodkan angka sehingga tujuh juta tan sehinggalah sejak setahun kebelakangan ini apabila nilai tersebut mencecah 7.2 juta tan.

Terdapat jangkaan bahawa jumlah eksport gula bagi musim ini akan menunjukkan perbezaan iaitu antara sembilan juta hingga 11 juta tan.

“Sesetengah pihak dalam pasaran telah menjangkakan eksport sebanyak 11 juta tan, jadi sekurang-kurangnya maklumat itu meletakkan satu had tertentu pada jangkaan dunia,” kata Pengarah Urusan di Paragon Global Markets LLC, Michael McDougall.

Penghentian eksport gula India boleh membantu pasaran global memandangkan India merupakan pengeluar dan pengeksport yang penting.

“Pengehadan eksport gula tidak memberi impak besar kepada operasi pasaran, berbeza dengan larangan eksport gandum yang menyebabkan indeks dagangan dunia menjadi kucar kacir,” kata Ketua Jual Beli Sugar Co yang berpangkalan di Dubai, Somit Banerjee. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI