JEMPOL – Seorang ibu berasa lega dan bersyukur apabila impian anak kelimanya yang menderita sakit jantung kronik sejak kecil untuk bertemu dengan Senior Asisten Komisioner (SAC) Nik Ezanee Mohd. Faisal tercapai di kediaman mereka sendiri di Bandar Seri Jempol, Isnin lalu.
Ibunya, Fazlina Mohd. Said, 44, berkata, anaknya, Zakuan Harith Mikhail Zaidi, 10, yang juga orang kelainan upaya (OKU) pendengaran itu amat meminati Nik Ezanee dan sentiasa mengikut perkembangan pegawai polis berkenaan menerusi TikTok serta kaca televisyen.
Menurutnya, Zakuan sangat menyukai kepribadian Nik Ezanee sehingga memintanya untuk mencetak gambar pegawai polis berkenaan untuk diletakkan di dalam bilik.
“Zakuan tak pernah merengek apabila nak sesuatu, tetapi apabila anak tunjuk minat dengan seseorang, saya sebagai ibu kalau boleh memang nak tunaikan impiannya itu, lebih-lebih lagi doktor pun dah cakap walaupun anak sudah dibedah, keberangkalian untuk sembuh sepenuhnya itu tiada.
“Kali pertama dia melihat Tuan Nik di televisyen, dia terus cakap Uncle ni baik… Potong rambut pun nak gaya Tuan Nik. Jadi saya usahakan juga dengan datang sendiri ke Balai Polis Bandar Sri Jempol sebelum raya lalu dan kemudiannya berurusan dengan Bukit Aman.
“Tak sangka dalam masa yang singkat, permintaan saya mendapat reaksi yang baik dan dimaklumkan dalam tempoh dua minggu pertemuan berkenaan akan diaturkan,” katanya.
Bagaimanapun menurutnya, dia terkejut apabila dihubungi Nik Ezanee sendiri pagi Isnin lalu untuk berjumpa anak di rumah.
Menurutnya, dia berasa sangat bertuah dan gembira apabila impian Zakuan tercapai serta anaknya itu juga kelihatan begitu ceria bertemu serta berbual dengan Nik Ezanee selama kira-kira sejam sebelum dibawa bersiar-siar dan melawat IPD Jempol.
“Malah, Zakuan juga dibawa menaiki kereta rasmi Nik Ezanee, selama kira-kira 20 minit,” katanya.
Fazlina berkata, anaknya itu dikesan mengalami masalah kesihatan sejak berusia tiga bulan dan sehingga kini sudah enam kali anaknya menjalani pembedahan iaitu tiga kali pembedahan major dan tiga kali pembedahan minor.
Menurutnya, dia menerima bantuan bulanan berjumlah RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain bergantung hasil pendapatan sebagai peniaga makanan bagi membiayai keperluan rawatan anaknya itu. – KOSMO! ONLINE