Syawal hampir ke penghujungnya, cuti hujung minggu ketika ini meriah dengan majlis rumah terbuka dan tidak kurang juga jemputan meraikan mempelai.
Menu utama sudah tentu ayam yang kini merupakan ‘barang panas’ serta lembu, binatang ternakan yang melonjak naik harga sejak Ramadan lalu.
Biarpun ada tempoh lebih sebulan lagi sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha, tawaran melaksanakan ibadah korban bagi yang mampu sangat rancak ketika ini.
Golongan penternak mahupun individu yang menjalankan ibadah korban pastinya sibuk mengambil dan menguruskan tempahan mereka yang berhajat.
Semuanya perlu dilakukan secara berhati-hati kerana permintaan sangat tinggi tetapi penawaran rendah menyebabkan lembu’ korban laku keras.
Berat lembu, harga satu bahagian atau kos yang perlu dibayar untuk seekor haiwan itu menjadi antara yang ditekankan pembeli dan penternak.
Penternak mempunyai asas menjual pada harga tinggi kerana kos penternakan dan pastinya pengguna ada kuasa menolak atau bersetuju dengan tawaran.
Berbanding tahun lepas, harga lembu korban tahun ini antara RM650 hingga RM1,000 satu bahagian.
Bagi lembu sado harganya tentulah lebih mahal, mungkin melebihi RM2,000 untuk satu bahagian.
Harga seekor pula antara RM4,500 hingga RM14,000. Kenaikan sudah boleh dijangka, manakan sama harga dua tahun lalu dengan sekarang.
Bagi yang ingin membuat korban pastinya telah bersedia dengan faktor kenaikan ini lebih-lebih lagi apabila dapat mengikuti ibadah berkenaan selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian.
Jika harga RM650 satu bahagian yang anda mampu, teruskanlah. Namun sekiranya mempunyai lebihan kewangan dan memilih lembu sado RM2,000 satu bahagian jangan menoleh lagi.
Keputusan rakan penulis yang memilih untuk membuat korban satu bahagian RM1,000 ada asasnya.
Katanya, dia boleh memberi lebih daging kerana dengan harga berkenaan jumlah yang diterima dalam 30 kilogram.
“Syukur dapat memberi lebih pada kali ini, bagi yang ingin membuat korban pastinya telah bersedia dengan kos,” ujarnya.
Dalam bersedekah jangan terlalu berkira, ikhlaskan hati apabila telah memilih.