KUALA LUMPUR – Ezcare Warranty Sdn. Bhd. (Ezcare Warranty) optimis terhadap inisiatif syarikat dengan melancarkan aplikasi mudah alih bagi meningkatkan ketelusan proses tuntutan dalam industri penyediaan jaminan bagi kenderaan import terpakai dan juga kenderaan recond.
Pengarah Urusan syarikat, Ahmad (Yusuf) Ibrahim berkata, melalui perkhidmatan tersebut, ia akan menaikkan imej syarikat sebagai satu-satunya penyedia jaminan kenderaan selepas pasaran yang aktif ke arah digitalisasi seiring perubahan gaya hidup dan perkembangan ekonomi semasa.
Menurut beliau, pemegang polisi akan dapat mengakses maklumat lengkap polisi kenderaan mereka, jadual servis berkala bagi penyelenggaraan, status perihal tuntutan dan lokasi bengkel yang dicadangkan.
“Dalam masa yang sama, pemegang polisi dapat menghubungi nombor bantuan kecemasan (SOS) pada bila-bila dan di mana-mana sahaja mereka berada tanpa sempadan dengan lebih mudah, cepat dan selamat.“ katanya pada majlis sambutan hari raya baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Operasi Ezcare Warranty, Amirul Akmar.
Menurut Ahmad, melalui nilai tambah perkhidmatan pada tahun ini, syarikat mengunjurkan pertambahan pelanggan sehingga 40 peratus ekoran keyakinan pelanggan yang semakin meningkat.
Selain itu, Amirul menjelaskan, Ezcare Warranty yang telah beroperasi sepenuhnya sejak akhir tahun 2016 itu menawarkan perkhidmatan penyedia jaminan kenderaan selepas pasaran bagi kenderaan import terpakai dan juga kenderaan terpakai dengan konsep bengkel terbuka serta perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dari pintu ke pintu yang ditawarkan oleh unit bergeraknya.
Tambah beliau, syarikat sentiasa komited memastikan pengurusan tuntutan jaminan kenderaan diuruskan secara efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik.
“Melalui perkhidmatan syarikat, tiada lagi kadar kos baik pulih kenderaan yang tidak masuk akal terhadap kerosakan yang dialami pengguna secara lazimnya yang sering dikenakan oleh pemain industri.
“Sekali gus ia akan memberi penjimatan masa kepada pelanggan kerana kami akan menghantar petugas ke bengkel dan menilai jumlah kerosakan.
“Ia seperti melanggan kad perubatan kerana sebelum kita jatuh sakit, kad tersebut adalah satu jaminan bergantung kepada jenis polisi yang diambil,” ujarnya.
Jelas Amirul, Ezcare Warranty adalah satu-satunya syarikat penyedia jaminan kenderaan yang merangkumi kesemua kenderaan import terpakai seperti kereta mewah dan supercar seperti Rolls-Royce, Bentley, Lamborghini dan Ferrari. -KOSMO! ONLINE