ALOR SETAR – “Anak pernah tak mandi pergi sekolah dan kami terpaksa mengangkut air dari lokasi jauh. Tolonglah atasi masalah ini kerana kami sudah bosan dan sangat marah.”
Luahan kecewa itu menunjukkan 80 keluarga dari Kampung Sungai Nonang mukim Tebengau di sini sudah tidak dapat menahan sabar tentang masalah bekalan air ke kediaman mereka yang didakwa semakin teruk sejak dua minggu lalu.
Penduduk mendakwa, masalah bekalan air sudah dihadapi sejak 15 tahun lalu, namun semakin meruncing ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan melarat hingga ke hari ini.
Seorang penduduk, Norehan Zainol, 36, berkata, penduduk sudah penat dan bosan kerana masalah itu menjejaskan urusan harian mereka hingga terpaksa mengerah kudrat dan membazir masa mengangkut air dari luar.
Katanya, keluarganya terpaksa berdepan dengan masalah itu setiap hari dan kebanyakan penduduk terpaksa berulang alik ke rumah saudara-mara untuk mandi dan mengambil air.
“Dalam rumah terdapat 12 orang daripada tiga keluarga dan ketiadaan air sejak dua minggu lalu sangat perit dan amat menyusahkan.
“Kami terpaksa mengangkut air dari rumah mentua masing-masing. Macam saya perlu memandu lebih satu kilometer ke Kampung Permatang Alor Ibus untuk angkut air,” luahnya kepada Kosmo!.
Menurut Norehan, pernah suatu hari anaknya tidak mandi ketika ke sekolah kerana tiada air hingga mengundang rasa tidak selesa ketika belajar.
Tambahnya, kawasan itu berada dalam kawasan Kota Setar tetapi perkhidmatan bekalan air sangat mengecewakan.
“Semasa musim perayaan, Syarikat Air Darul Aman (SADA) kata air tiada disebabkan orang ramai balik kampung tetapi sekarang orang sudah kembali ke kediaman masing-masing, namun air tetap tiada,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Nasyrah Othman, 38, pula berkata, dia sudah penat kerana terpaksa mengangkut air.
“Kami terpaksa mencuci pakaian di kedai dobi dan membeli makanan di kedai kerana ketiadaan air.
“Kalau masalah ini berlarutan sudah pasti kami perlu mengeluarkan banyak belanja,” katanya.
Menurut Nasyrah, walaupun SADA ada menghantar lori air ke kawasan itu tetapi penghantarannya tidak menentu menyebabkan penduduk penat menunggu.
Tambahnya, cuaca panas memerlukan mereka meminum banyak air tetapi bekalan tiada.