LONDON – West Ham United dilaporkan sudah membuat tawaran kepada Jesse Lingard ketika pemain itu bakal bebas daripada sebarang kontrak bulan depan.
Pemain Manchester United itu dilaporkan sedang diintai oleh beberapa pasukan dalam tempoh beberapa minggu akan datang menyebabkan West Ham tidak mahu berputih mata.
Lingard sebelum ini berjaya mempamerkan aksi cemerlang bersama pasukan itu ketika dipinjamkan pada musim 2020/21 apabila meledak sembilan gol dengan lima umpanan untuk hanya 16 penampilan.
Ketika popularitinya meningkat di Stadium London, Lingard disebut-sebut bakal kekal bersama West Ham, namun membuat keputusan untuk kembali ke Old Trafford kerana percaya mampu menembusi kesebelasan utama United.
Bagaimanapun, Lingard terus gagal memikat pengurus ketika itu, Ole Gunnar Solskjaer dan pengurus interim, Ralf Rangnick menyebabkan dia hanya mampu membuat dua penampilan pada saingan Liga Perdana Inggeris.
Kali ini, Lingard dikatakan sudah nekad untuk menamatkan kesengsaraannya dan bersedia meninggalkan United yang disertai ketika berusia tujuh tahun untuk kembali bangkit membina semula kariernya selain kecewa dengan layanan yang diberikan sehingga sanggup menolak untuk beraksi dalam perlawanan sempena perpisahannya. – AGENSI