JELI – Selepas tujuh hari hilang semasa keluar berkebun, seorang lelaki warga emas ditemui di kawasan bukit oleh penduduk kampung kira-kira empat kilometer dari dusun buah-buahan di miliknya di Kampung Pasir Dusun di sini hari ini.
Yaakub Ismail, 76, yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu dijumpai dalam keadaan selamat kira-kira pukul 6.45 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Arifin berkata, mangsa ditemui oleh seorang penduduk kampung yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga emas itu.
Menurutnya, mangsa berada dalam keadaan sedar dan terbaring dengan melambai-lambai tangannya meskipun sudah tidak bermaya semasa ditemui.
“Siasatan mendapati, warga emas itu memaklumkan dia turun ke bawah bukit untuk melihat tempat mencabut anak pokok getah sebelum mahu naik semula ke atas. Bagaimanapun, dia tiba-tiba hilang arah dan tidak tahu jalan untuk pulang semula ke kebunnya.
“Mangsa cuba berjalan pulang sepanjang tempoh tersebut sehingga tidak sedarkan diri bahawa dia sudah tidak makan selama seminggu. Warga emas itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya terdapat kesan calar pada bahagian badannya.,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Ahmad, warga emas itu dilaporkan stabil dan kini ditempatkan di Hospital Jeli di sini untuk rawatan lanjut
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang warga emas hilang tanpa khabar berita selepas keluar berkebun di sebuah dusun durian dan buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun di sini sejak Khamis lalu.
Yaakub disedari hilang oleh anak lelakinya, Mohd. Sufian, 49, selepas mendapati mangsa tiada di kebun seluas 4.8 hektar itu meskipun kenderaan pacuan empat roda jenis Daihatsu Feroza dipandunya masih ada di kawasan tersebut. – KOSMO! ONLINE