KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Datin Seri Rosmah Mansor dan syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan menuntut seutas gelang berlian emas putih bernilai AS$220,000, manakala bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menuntut tujuh utas jam tangan masing-masing disimpan di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam prosiding hari ini peguam Rosmah, Azamuddin Abd Aziz, berkata anak guam juga perlu mengesahkan gelang itu menerusi gambar yang akan diserahkan pihak pendakwaan hari ini.
“Saya menerima arahan anak guam mengenai isu gelang itu yang turut dituntut Global Royalty Trading SAL. Saya memohon tiga, empat hari atau paling lama seminggu untuk arahan selanjutnya daripada Rosmah,” katanya pada pengurusan kes berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil Hussin, hari ini.
Gelang dan jam tangan itu antara barang disita polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn. Bhd. di Pavilion Residences pada Mei 2018, yang didakwa berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sementara itu, dalam prosiding sama peguam yang mewakili Global Royalty Datuk David Gurupatham mengesahkan Rosmah tidak pernah memeriksa gelang itu sebelum ini yang disimpan dalam bilik kebal berkenaan.
“Untuk rekod, Rosmah mengetepikan hak untuk periksa barang kemas terbabit. Pegawai penyiasat yang bertugas juga sudah periksa setiap barang dalam bilik itu pada tahun lalu.
“Pegawai dikenali Superintenden Foo (Wei Min) kemudian mengesahkan gelang itu milik Global Property,” katanya.
Dalam pada itu peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pula memohon kepada mahkamah untuk pengurusan kes tuntutan barang berkenaan diadakan secara berasingan.
Pada 25 Julai 2020, Najib dan Rosmah memeriksa 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.
Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.
Selepas mendengar hujahan semua pihak, hakim menetapkan 8 Jun depan untuk pengurusan kes itu secara serentak. – KOSMO! ONLINE.