PENCAPAIAN skuad badminton negara pada temasya Sukan SEA Vietnam 2021 boleh dianggap sebagai membanggakan apabila berjaya menepati sasaran satu pingat emas selain membawa pulang dua perak dan satu gangsa.
Beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei pastinya pulang dengan ceria apabila menjadi penyumbang emas menerusi sukan badminton selepas menewaskan rakan sepasukan, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See pada aksi akhir.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky menyuarakan rasa puas hati terhadap prestasi pemain-pemain beregu sepanjang temasya tersebut, terutamanya beregu campuran.
Beliau berkata, prestasi ditampilkan anak-anak buahnya pada Sukan SEA kali ini cukup cemerlang jika mengambil kira faktor usia yang masih muda berbanding pemain-pemain negara lain.
“Pencapaian skuad beregu pada temasya Sukan SEA kali ini sangat membanggakan dan boleh dikatakan cukup baik, terutamanya beregu campuran apabila dua wakil kita melayakkan diri ke perlawanan akhir.
“Secara keseluruhan, semua pemain beregu bermain sangat baik sepanjang temasya kali ini tetapi amat sayang apabila Man Wei Chong (beregu lelaki) mengalami kecederaan,” kata pengendali dari Indonesia itu.
Beliau yang melahirkan beregu emas, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong percaya aksi cemerlang ditampilkan mampu membantu pemain-pemain itu untuk bermain lebih baik dalam kejohanan akan datang.
“Sudah tentu prestasi Sukan SEA boleh menjadi pembakar semangat mereka menjelang kejohanan selepas ini. Saya harap ia tidak menjadi beban buat mereka nanti,” ujar Rexy.