PETALING JAYA – Ekoran kejadian hujan lebat sejak pagi tadi telah menyebabkan beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur telah ditenggelami banjir kilat.
Menerusi perkongsian Pusat Pengurusan Pengangkutan (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Twitternya memaklumkan antara kawasan yang terjejas adalah Jalan Ampang menuju ke Jalan Dang Wangi; Bulatan Dato Onn; pekarangan Masjid Jamek dan Jalan Ampang ke Leboh Ampang.
Sehubungan itu, tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati orang ramai mula berasa bimbang dengan kejadian banjir kilat terutamanya apabila memikirkan risiko dan kesan yang boleh terjadi.
“Allah, hujan dari pagi, risau kawasan rumah banjir lagi, penat yang dulu pun masih terasa, moga Allah lindung penduduk Kuala Lumpur ketika ini,” luah Baizura Aziz.
“Risau nak balik kerja, dengan keadaan banjir kilat macam ini, permudahkan segalanya untuk kami Ya Allah,” kata Mohd. Amirul.
“Tiba-tiba hujan ini, sebelum ini cuaca elok panas, sejak sehari dua ini hujan lebat, hari ini banyak pula kawasan dan laluan naik air kat Kuala Lumpur ini,” ujar Fatihah. – KOSMO! ONLINE.