LIMA tahun lalu, ada kajian melaporkan bahawa rakyat Malaysia memakan sejumlah 1.8 juta ekor ayam dalam sehari.
Dan pastinya pada tahun 2022 ini, jumlah itu telah meningkat sekurang-kurangnya kepada angka 2.5 juta selepas mengambil kira pertambahan jumlah penduduk dan permintaan tinggi terhadap makanan berasaskan ayam.
Ramai yang bertanya, kenapa rakyat terlalu gilakan ayam dan jawapan ilmiahnya adalah kerana sumber protein yang ada pada haiwan ternakan itu.
Paling penting kata mereka, harga ayam ketika itu masih dikategorikan sebagai murah, berbanding sumber protein lain seperti ikan dan daging.
Mengikut data Jabatan Perkhidmatan Veterinar, harga ayam standard paling rendah di peringkat runcit yang pernah direkodkan pada tahun 2016 adalah sekitar RM6.15 sekilogram.
Tahun ini, ketika rakyat secara perlahan-lahan cuba bangkit daripada ‘kemusnahan’ yang berlaku selama hampir tiga tahun angkara Covid-19, isu ayam sekali lagi memeningkan kepala pentadbir negara.
Dari peringkat penternak, sehinggalah kepada pemborong, peruncit dan pengguna, masing-masing mempunyai alasan untuk mengeluh. Isunya cuma satu iaitu bekalan makin kurang, menyebabkan harga terus melambung melepasi harga siling yang ditetapkan.
Benarlah, isu ayam bukan isu remeh yang boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja. Ia adalah isu nasional, sama pentingnya dengan perihal bilakah tarikh sebenar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Buktinya, satu Kabinet dipanggil dan dikumpulkan di Putrajaya hanya untuk duduk berbincang mengenai bekalan dan harga ayam. Mesyuarat akhirnya membuat beberapa ketetapan yang dianggap penting bagi mengatasi masalah bermusim ini.
Paling utama adalah ketegasan kerajaan untuk menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan bekalan di peringkat domestik kembali stabil.
Selain itu adalah pemansuhan approved permit (AP) ayam termasuk ayam bulat selain memudahkan proses tuntutan subsidi oleh pihak pengeluar.
Di atas kertas, semua cadangan dan langkah yang diambil kerajaan ini cukup bijak. Ia juga memberi gambaran awal kepada satu bentuk penyelesaian jangka panjang mengenai isu ayam di peringkat negara.
Bagaimanapun, di akhirnya yang menentukan isu ini selesai ataupun tidak bukanlah menteri mahupun pemerintah, tetapi rakyat di luar sana. Rakyat hanya perlu turun ke pasar-pasar dan kedai runcit untuk melihat sama ada bekalan mencukupi ataupun tidak.
Paling penting, rakyat mengharapkan harga ayam yang terpampang di premis-premis kelak adalah harga yang masuk akal dan boleh diterima oleh semua kumpulan masyarakat.
Seperti mana kata-kata cendiakawan Indonesia, Buya Hamka, seseorang yang berakal itu sebenarnya hidup untuk masyarakatnya dan bukan buat dirinya sendiri.