PUTRAJAYA – Murid sekolah berusia 7 hingga 17 tahun diberi peluang untuk ‘sembang’ bersama Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi sesi khas pada Ahad ini.
Sesi dikenali sebagai Pejabat Pakcik Radzi itu membuka peluang kepada anak-anak sekolah untuk berbual-bual dengan Menteri Kanan Pendidikan itu.
Radzi menerusi hantaran di Facebook berkata, sesi khas itu akan berlangsung bermula pukul 10 hingga 12 tengah hari di Pejabat Menteri Kanan Pendidikan, Blok E8, di sini.
Menurutnya, sesi khas itu diadakan bersempena Majlis Jalinan Mesra dan Hari Terbuka KPM yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.
“Pakcik akan adakan sesi khas untuk berjumpa dengan anak-anak di pejabat pak cik. Jumpa Ahad ini ya.
“Anak-anak berumur tujuh hingga 17 tahun yang berminat untuk turut serta bolehlah mengemukakan butiran melalui link https://tinyurl.com/LAWATPEJDRJ,” katanya.
Katanya, masa dan ruang yang disediakan bagi sesi itu adalah terhad dan hanya murid yang tersenarai untuk jemputan ke sesi berkenaan sahaja akan dihubungi untuk pemakluman lanjut. -KOSMO! ONLINE