KLANG – Polis sedang mengenal pasti sekumpulan remaja yang tular membuat bising dengan membunyikan ekzos motosikal dengan kuat di sekitar Meru di sini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, perkara itu dikesan pihaknya menerusi laman Facebook persatuan penduduk Meru, kira-kira pukul 6.30 petang tadi.
Katanya, video tular berdurasi lebih seminit itu memaparkan tindakan remaja berkenaan yang mengganggu orang awam.
“Kita setakat ini belum menerima laporan berkaitan insiden berkenaan. Polis masih sedang mengenal pasti kumpulan remaja yang membuat bising tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Vijaya Rao meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-32912222 atau balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.
Berdasarkan video tular itu, kumpulan remaja berkenaan rata-ratanya dilihat berpakaian baju Melayu dan beredar dari lokasi insiden dengan motosikal masing-masing.
Tindakan itu mendapat kecaman netizen yang menyifatkan ia sebagai biadab dan tidak menghormati orang awam lain. – KOSMO! ONLINE