KOTA BHARU – Kesusahan enam beranak yang tinggal di sebuah rumah usang yang hampir roboh di Kampung Sering di sini mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menghadiahkan sebuah rumah baharu kepada mereka.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kehidupan seorang kanak-kanak, Ku Arman Taqif Ku Hamzah, 10, yang tinggal dalam rumah serba daif bersama ibu bapa dan salah seorang adiknya yang juga orang kelainan upaya (OKU) fizikal.
Ismail Sabri yang tersentuh dengan nasib menimpa keluarga itu memaklumkan hasrat untuk membantu kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebelum Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman terus bertindak menguruskan pembinaan rumah baharu untuk mereka.
Ketua keluarga itu, Ku Hamzah Ku Lah, 56, berkata, dia sekeluarga amat terharu apabila Perdana Menteri sanggup untuk membina rumah di atas tanah milik keluarganya berhampiran di kampung berkenaan.
Katanya, rumah pusaka yang menjadi tempat berteduh buat mereka sekeluarga sudah berusia 50 tahun dan menunggu masa untuk menyembah bumi.
“Keadaan ekonomi keluarga kami semakin tenat apabila saya berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan sejak empat bulan lalu.
“Saya terpaksa berhenti kerja kerana faktor kesihatan selepas disahkan menghidap kencing manis dan buah pinggang. Kini, saya hanya membuat kerja-kerja kampung termasuk mengutip tin untuk dijual bagi mendapatkan sesuap rezeki,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya semalam.
Ku Hamzah memberitahu, dia turut menggunakan wang simpanan yang semakin menyusut untuk menyara isteri, Faridah Mat Sallah, 40, tiga anak yang masih bersekolah termasuk Ku Arman Taqif dan anak bongsu berusia enam tahun yang merupakan OKU.
Katanya, anak bongsunya itu menerima bantuan bulanan sebanyak RM100 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Saya sebenarnya runsing dengan keadaan rumah ini apabila banyak atap sudah bocor dan lantai papan yang reput dimakan anai-anai.
“Bagaimanapun, kami sekeluarga amat bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri untuk membantu rakyat yang hidup dalam serba kekurangan,” katanya.
Sementara itu, Zaluzi berkata, kos pembinaan rumah baharu keluarga Ku Hamzah telah diluluskan oleh Perdana Menteri.
Menurutnya, bagaimanapun kos itu masih belum dimaklumkan dan rumah tersebut akan dibina secepat mungkin untuk keselesaan keluarga Ku Hamzah. – KOSMO! ONLINE.