KUALA LUMPUR – Kehangatan saingan musim baharu Netball Super League (NSL) 2022 semakin dirasai menjelang aksi pertama yang akan berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara pada 3 Jun ini.
Format pertandingan kali ini menyaksikan lapan pasukan berentap secara liga sepusingan dengan empat terbaik layak ke separuh akhir dalam misi mencari dua finalis merebut hadiah utama bernilai RM20,000.
Persaingan juga dijangka sengit antara lapan pasukan tersebut yang tentunya mahu mengelak daripada menghuni kedudukan dua tercorot sekali gus tersingkir daripada pentas NSL musim hadapan.
Menariknya, saingan kali ini bakal menyaksikan kehadiran para penonton untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan kegemaran masing-masing selepas tidak dapat melakukannya musim lalu disebabkan penularan Covid-19.
Ketua Pembangunan Perniagaan Astro Arena, Preman Parameswaran menyifatkan, sambutan NSL kali ini akan menjadi lebih hangat berbanding penganjuran edisi pertama musim lalu.
Ia terbukti apabila NSL 2021 berupaya mencatat rating tertinggi sebanyak tiga juta tontonan di saluran televisyen Astro Arena dan di aplikasi Astro GO sementara 679,000 tontonan pula melalui platform digital.
“Populariti dan prestasi cemerlang skuad negara di pentas Asia Tenggara tidak mustahil mampu menjadikan NSL hab sukan antarabangsa dan mencipta jenamanya ke peringkat lebih tinggi satu hari nanti.
“Untuk merialisasikan usaha ini, saya berharap lebih ramai badan-badan korporat, konglomerat tempatan dan antarabangsa tampil membantu membawa golongan wanita lebih kompetitif serta memperkasakan lagi legasi sukan wanita paling popular di Malaysia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran NSL yang turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker, Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia, Alwiyah Talib dan wakil-wakil penaja serta kapten lapan pasukan bertanding.
Lapan pasukan itu adalah juara bertahan, KL Wildcats, Johor Jewels, Selangor Angels, Perak Phoenix, Kedah Sunshine, Negeri Sembilan Venom, Pahang Tulips dan Melaka Mystic.
Peminat boleh membeli tiket di www.tickethotline.com.my bermula esok untuk menyaksikan perlawanan-perlawanan NSL 2022 di Stadium Juara pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 3 hingga 26 Jun ini. – KOSMO! ONLINE