PERTAHANAN Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hasni mahu memanfaatkan sebaik mungkin peluang kedua dan nekad mengukuhkan namanya untuk terus kekal sebagai watak penting dalam skuad Harimau Malaya.
Bagaimanapun, ujian pertamanya pada latihan pusat kali ini adalah untuk segera menyesuaikan diri dengan ‘nama besar’ khususnya di barisan pertahanan negara yang turut memiliki pemain seperti Dion Cools, Shahrul Saad, Corbin Ong dan Matthew Davies.
“Rezeki kedua selepas kali pertama ada masalah komunikasi. Saya begitu teruja apabila dapat panggilan kali ini dan insya-Allah saya akan cuba sehabis baik. Apa yang jadi sebelum ini jadi pengajaran buat saya.
“Ada rasa takut kerana ini adalah situasi baru bagi saya tetapi apa pun, saya kena selesakan diri. Bersama TFC tidak ada ramai pemain senior dan ini adalah pengalaman baru untuk saya bagi sesuaikan diri dengan pemain lebih senior,” katanya.
Sebelum ini, bekas pengendali negara, Tan Cheng Hoe pernah memanggil Shahrul Nizam untuk menghadapi aksi persahabatan antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan, namun pemain yang dikenali sebagai Nijey itu ‘hilang dari radar’ apabila tidak menghadirkan diri ke latihan pusat kerana turun ke laut.
Ditanya mengenai perbezaan yang dapat dirasai ketika berlatih di bawah kendalian Kim Pan-gon, Nijey akui peluang kali ini beri kelainan kepada dirinya dan akan memanfaatkannya sehabis baik bagi mencabar kemampuan diri.
“Cukup berbeza berbanding di kelab, di sini lagi laju. Cabaran saya kali ini agak tinggi tetapi saya akan cuba sehabis baik,” katanya.