SELEPAS 13 tahun bergelar murtad apabila nekad keluar agama Islam dan menganuti Kristian, penyanyi Nania Yusuf kembali menjadi seorang muslim selepas melafazkan kalimah syahadah ketika Aidilfitri lalu.
Ujar bekas peserta program Indonesia Idol itu, dia memutuskan kembali menganut Islam selepas mendakwa mendapat hidayah selain tertanya-tanya bagaimana pengakhiran dirinya ketika meninggal dunia nanti.
“Sejak kebelakangan ini hati saya berasa tidak tenteram. Saya tertanya-tanya jika meninggal dunia nanti, bagaimana saya akan diuruskan? Siapa yang akan mendoakan saya,” ujarnya.
Kata penyanyi berusia 38 tahun itu lagi, selepas menganuti agama Kristian pada 2009, hubungan bersama keluarga terutama ibunya menjadi renggang.
Kata Nania, dia juga takut jika ibunya meninggal dunia nanti, wanita itu tidak mengampunkan dosanya selain kehilangan restu dan doa.
“Keluarga saya semuanya Islam. Mereka memang menentang keras keputusan saya menganuti agama Kristian. Walaupun akhirnya mereka berkata okey, namun saya tahu hati mereka tidak tenteram,” katanya.