PARIS – Jaguh veteran Sepanyol, Rafael Nadal melakar sejarah baharu apabila memintas rekod Roger Federer untuk meraih kemenangan terbanyak dalam satu kejohanan Grand Slam selepas menewaskan Jordan Thompson pada pusingan pertama Terbuka Perancis semalam.
Pada aksi tersebut, Nadal yang telah menjuarai 21 kejohanan bertaraf Grand Slam tidak mempunyai masalah untuk melakar kemenangan straight-set 6-2, 6-2, 6-2 sekali gus merekodkan 106 kemenangan di Roland Garros.
Keputusan tersebut menyaksikan Nadal memintas rekod Federer yang sebelum ini merakamkan 105 kemenangan pada Kejuaraan Wimbledon sebelum ini.
Namun, pemain berusia 35 tahun itu enggan mendabik dada dengan rekod tersebut sebaliknya terus bekerja keras sekiranya berhasrat untuk menjuarai saingan Terbuka Perancis buat kali ke-14 tahun ini.
“Saya sangat berpuas hati dengan apa yang dipamerkan pada aksi pusingan pertama kali ini, tetapi itu bukan bermakna saya sudah cukup bagus kerana apa sahaja boleh berlaku.
“Secara jujur, saya masih belum berada pada tahap terbaik kerana gerakan serta kepantasan saya agak terbatas mungkin atas faktor kecederaan yang saya alami belum pulih sepenuhnya.
“Apa yang pasti, ini adalah permulaan yang baik dan saya akan fokus kepada satu perlawanan ke satu perlawanan berbanding terus meletakkan sasaran yang tinggi,” katanya. – AGENSI