fbpx

MyGovernance pelengkap NACP tangani rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Pembangunan Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) akan menjadi pelengkap kepada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dan akan memastikan kesinambungan komitmen kerajaan berhubung governans, integriti dan anti-rasuah melalui inisiatif baharu yang bakal disediakan.

Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, NACP 2019-2023 yang diperkenalkan pada 2019 menggariskan inisiatif governans, integriti dan anti-rasuah secara komprehensif dan ia akan terus dilaksanakan walaupun wujudnya MyGovernance kelak.

“MyGovernance akan dibangunkan dengan memberi fokus kepada usaha mempertingkat tadbir urus baik merentasi seluruh aspek pentadbiran kerajaan secara berterusan melalui suatu dasar dan panduan jelas kepada semua agensi kerajaan.

“Ia dibangunkan berteraskan empat prinsip tadbir urus baik iaitu ketelusan, akauntabiliti, kecekapan dan keberkesanan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, MyGovernance bakal menjadi sebuah pelan dasar dan tindakan bersepadu di peringkat nasional sejajar dengan salah satu strategi utama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ke arah memperkukuh penyampaian perkhidmatan sektor awam melalui peningkatan ekosistem tadbir urus baik.

“Amalan tadbir urus terbaik melalui MyGovernance dapat membantu agensi kerajaan dalam mengatasi isu-isu kelemahan tadbir urus, integriti, ketirisan, ketidakcekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam, isu ketelusan dan karenah birokrasi dalam pentadbiran kerajaan dengan mengambil kira cabaran sedia ada dan masa hadapan.

“Antara inisiatif-inisiatif yang bakal diperkenalkan kelak adalah untuk memastikan penggunaan sumber secara cekap dan berkesan serta memantapkan integriti, nilai dan etika organisasi untuk menghasilkan budaya kerja yang cemerlang,” katanya.

Tambah kenyataan itu, komitmen kerajaan dalam membangunkan MyGovernance dan terus melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah NACP ini dijangka berupaya mengembalikan keyakinan orang awam serta masyarakat antarabangsa terhadap institusi kerajaan sekali gus meletakkan Malaysia kekal berdaya saing di persada antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI