KEMAMAN – Pencarian enam hari mayat wanita yang hilang ketika mandi laut bersama suaminya di Pantai Kampung Che Wan, Kijal di sini pada Jumaat lalu berakhir apabila dijumpai terapung di Pantai Air Tawar, Pulau Tenggol, Dungun malam tadi.
Mayat Rokiah Abd Rahman, 59, ditemui pekerja sebuah resort di pulau peranginan tersebut yang terletak kira-kira 40 kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 7.30 malam.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, beberapa pekerja resort berkenaan telah ternampak objek mencurigakan terapung di pantai berkenaan.
“Penemuan tersebut kemudiannya dimaklumkan kepada pihak berkuasa sebelum disahkan sebagai mayat seorang wanita.
“Mayat tersebut telah dibawa ke daratan menerusi Jeti Kuala Kemaman dengan menaiki bot sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan berkata, pengecaman awal anak-anak Rokiah mengesahkan mayat wanita berkenaan merupakan ibu mereka.
Kosmo! Jumaat lalu melaporkan percutian Ahmad Qarib Ab. Kadir, 60, dan isterinya, Rokiah bersama empat anak mereka berusia 16 hingga 24 tahun bertukar tragedi apabila suami isteri itu lemas ketika mandi pantai.- KOSMO! ONLINE.