PETALING JAYA – Berusaha menjaga hubungan baik dan aib bekas suami, Ellie Suriaty Omar mengakui terkilan apabila Azri Iskandar mengeluarkan kenyataan dirinya sebelum ini memang selalu meminta cerai.
Kata aktres dan pengarah itu, sewajarnya perkara tersebut tidak perlu diungkit mahupun dipersoalkan memandangkan lelaki yang sudah hidup bersama dengannya sejak 19 tahun lalu itu tahu situasi sebenar.
“Kenapa saya selalu minta cerai? Jawapan bagi persoalan yang dibangkitkan itu ada pada dia. Dia tak perlu persoalkan pun atau bawa benda itu keluar (hebahkan).
“Selepas sah berpisah kami ada berjumpa sebab saya mahu hubungan baik ini berkekalan. Tak semestinya bercerai kita jadi berantakan. Saya pergi tuntut fasakh pun ketika dalam keadaan tenang, jadi kenapa ungkit perkara lalu.
“Dia sudah sewajarnya lega kerana selepas perceraian ini ramai bersimpati dengannya dan membenci saya. Itu tidak mengapa asalkan anak-anak faham. Sekali lagi saya katakan saya ambil jalan ini demi kebaikan semua.
“Ada ke perempuan yang hidup bahagia dan suami layan dengan baik tiba-tiba minta cerai. Melainkan perempuan itu jenis tak bersyukur. Saya kalau suami bawa ke pasar malam pun sudah seronok sangat.
Berita berkaitan: Ellie Suriaty, Azri Iskandar bercerai
“Tak perlu bawa saya terbang ke Paris, London pun. Saya tak baik lagi ke?” luahnya kepada Kosmo! Online berhubung kenyataan Azri dalam sebuah portal semalam.
Kata aktor berkenaan, selama 19 tahun melayari bahtera rumah tangga, akhirnya dia terpaksa merelakan perpisahan yang acap kali dipinta oleh Ellie sebelum ini.
Pun begitu, Azri menolak alasan tidak sehaluan dalam politik menyebabkan pengarah, pelakon dan jurulatih lakonan berkenaan membuat permohonan bercerai pada 22 April lalu.
Terdahulu, Ellie, 51, dan Azri, 54, disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pada 17 Mei lalu.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Azrell Omar, 17, dan Nur Azreen, 13, manakala dua lagi kandungan Ellie mengalami keguguran.
Sebelumnya, Azri menerusi perkahwinan terdahulu mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31, Farah Qistana, 29, Nur Anis Mastura, 27.
Dedah Ellie lagi, perpisahan mereka sedari awal diharapkan tidak mungkin dapat memutuskan silaturahim apatah lagi dia sendiri rapat dengan ketiga-tiga anak tirinya.
“Awak (Azri) keluarga saya. Mak, nenek semua sudah tiada. Selamanya awak sebahagian daripada keluarga saya dan tiada siapa mampu mengubah perkara itu. Anak-anak termasuk anak tiri sangat rapat.
“Saya kenal dia tak macam orang lain kenali dirinya. Saya tak akan ketepikan dia begitu saja. Kalau dia sakit pun, saya tetap sanggup menjaganya macam dulu,” katanya.
Sementara itu, Ellie ketika diminta mengulas mengenai gambar yang dikongsi bekas suami bersama seorang wanita dalam laman sosial, ulasnya, itu adalah hak bekas suaminya.
“Saya tak boleh kata apa sebab saya bukan isteri dia lagi. Saya tiada hak untuk komen. Sesiapa pun yang dia berkawan, terpulang kepadanya,” tambah aktres tersebut. – KOSMO! ONLINE