SELEPAS gagal menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik, Kedah Sunshine pastinya memasang impian besar menjelang saingan musim baharu Netball Super League (NSL) bermula 3 hingga 26 Jun ini.
Edisi kedua NSL yang akan dilancarkan secara rasmi hari ini, kekal dengan penyertaan lapan pasukan yang akan bersaing mencabar juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Wildcats pada aksi di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Bagi pemain berpengalaman Kedah Sunshine, Izyan Syazana Mohd. Wazir, dia bertekad untuk membantu pasukannya bersaing sengit dengan pasukan-pasukan gergasi dalam arena bola jaring tanah air.
“Penganjuran musim baharu NSL bagus buat sukan bola jaring terutama pemain-pemain muda kerana mereka dapat pendedahan bermain setiap minggu. Tidaklah perlu tunggu kejohanan remaja atau terbuka.
“Saya pula tentu ada impian untuk masuk dalam kelompok empat terbaik pada musim baharu kali ini. Namun, saya tidak boleh berikan gambaran lebih jelas kerana belum sertai pasukan lagi.
“Buat masa ini saya berlatih bersendirian kerana jadual sibuk dan kekangan kerja. Saya harapkan yang terbaik dan dapat beri cabaran kepada pasukan-pasukan lain musim ini,” katanya.
Selain Kedah Sunshine dan KL Wildcats, naib juara edisi pertama, Johor Jewels juga dikatakan antara pasukan pilihan musim ini selepas dilaporkan diperkuatkan dengan beberapa nama besar.
Baki pasukan lain yang turut memberikan cabaran ialah Selangor Angels, Perak Phoenix, Negeri Sembilan (NS) Venoms, Pahang Tulips dan Melaka Mystic.