GUA MUSANG – Seorang budak lelaki Orang Asli suku kaum Temiar berusia tiga tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus Sungai Brooke di Kampung Teluk Untung, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Simon bermain di kawasan rumahnya sebelum disedari hilang oleh ibunya, Aini Sarip, 26.
Aini berkata, ketika kejadian, dia sedang mencuci pinggan mangkuk dan anaknya bermain di luar rumah seorang diri.
Katanya, dia berasa tidak sedap hati selepas tidak mendengar suara anaknya itu di halaman rumah.
“Saya melihat Simon tiada dan segera mencarinya di kawasan rumah jiran.
“Saya terserempak dengan dua rakan sebaya Simon dan mereka memaklumkan bahawa dia telah dihanyutkan arus sungai deras yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Menurut Aini, dia hanya mampu menangis dan berteriak memanggil jiran terdekat sebelum usaha mencari Simon dijalankan oleh penduduk kampung.
Katanya, sebelum ini, anak kedua daripada dua beradik itu tidak pernah mandi di sungai berkenaan.
“Simon memakai baju-t merah dan seluar jean hitam semasa bermain. Dia sempat makan maggi goreng yang saya masak sebelum dipercayai lemas.
“Saya sempat mengambil gambarnya kelmarin ketika dia mengikut saya mencari sayur-sayuran di hutan. Tidak sangka itu merupakan gambar terakhir yang saya dapat ambil,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 1.57 petang semalam.
“Operasi mencari masih giat dijalankan oleh pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
“Pencarian dilakukan di kawasan tepi sungai sekitar lokasi mangsa dipercayai jatuh yang meliputi sejauh satu kilometer ke hilir sungai,” katanya. – KOSMO! ONLINE.