KAJANG – Seorang jurulatih wushu akan didakwa esok pagi di Mahkamah Sesyen Putrajaya atas kesalahan melakukan gangguan seksual terhadap budak perempuan berusia 13 tahun.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, lelaki berusia 31 tahun itu akan didakwa dengan 10 pertuduhan atas kesalahan melakukan gangguan seksual terhadap mangsa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Satu pertuduhan di bawah Seksyen 16(1) akta yang sama atas kesalahan orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu jurulatih telah melakukan kesalahan seksual terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Zaid memaklumkan sebelum ini, pengadu yang merupakan bapa kepada mangsa mendakwa kanak-kanak itu telah diganggu secara seksual oleh jurulatih wushu terbabit di rumah suspek pada 11 Februari sehingga 19 Februari lalu.
Terdahulu, akhbar melaporkan mangsa yang ketakutan diugut supaya berdiam diri, namun telah mengadu kepada bapanya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 10 Mei lalu.
Susulan itu, sepasukan polis dari Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang berjaya menahan suspek pada pukul 7.50 malam keesokan hari. – KOSMO! ONLINE