fbpx

Jaga stamina, Hattan sedia beraksi jayakan konsert mega

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DATUK HATTAN

MEREMANG bulu roma sebaik kaki melangkah masuk ke studio Avia Musicom yang bergema dengan alunan suara Datuk Hattan membawakan lagu Kepadamu Kekasih diiringi barisan pemuzik hebat.

Lagu dendangan ciptaan Datuk M. Nasir tersebut antara repertoir bagi segmen penghargaan khas buat komposer prolifik itu dalam Konsert Hattan – 35 Years Journey yang akan berlangsung pada 4 dan 5 Jun depan.

Andai nyanyian di studio sudah mampu menggamit rasa teruja, tidak dapat digambarkan kehebatan persembahan penyanyi yang hampir empat dekad berkelana dalam arena seni beraksi itu di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Selain segmen khas buat M. Nasir, lebih 20 seleksi malar segar termasuk Memburu Rindu, Dari Kekasih Kepada Kekasih, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, Meniti Perjalanan dan Berikan Nurbisa akan menakluki Dewan Plenary dua malam berturut-turut.

Kata pemilik nama sebenar Mohd. Shukri Shahabudin itu, perasaan teruja bertemu pengikut setia yang bersama dengannya sejak penghasilan album sulung sekitar 1987 bertambah berganda menjelang Jun.

Malah persediaan dari segi mental dan fizikal dipersiapkan dengan melakukan latihan di studio bersama barisan pemuzik lengkap diketuai Rozario selaku pengarah muzik.

Melihat barisan belakang tabir, bukan calang-calang pemuzik pengiring yang terlibat. Mereka ialah dua orang pemain gitar, Nan dan Ritz gitar, Ujang (dram), Fly (bass), Firdaus (keyboard) dan Pa’ang (perkusi) serta pemain seruling berpengalaman, Mohar.

“Sememangnya kami sudah bersedia untuk beraksi. Segalanya hampir disempurnakan terutama membabitkan seleksi lagu memandangkan banyak karya cukup bermakna sepanjang pengembaraan seni saya.

“Tiada yang lebih saya harapkan selain kesihatan terjaga hingga hari konsert tiba kerana dari segi persiapan dan persediaan, semuanya sudah dilaksanakan dengan baik hasil sokongan semua,” katanya.

HATTAN bersama jentera pasukannya yang terlibat untuk persembahan Konsert Hattan – 35 Years Journey pada 4 dan 5 Jun depan bertempat di Dewan Plenary, KLCC.

Penghibur berusia 57 tahun itu memaklumkan, dalam kesibukan membuat persediaan merealisasikan konsert anjuran Mewah Event Management (MEM) tersebut, beliau tidak lupa berjaga-jaga.

Kongsinya, Covid-19 yang kini sudah memasuki fasa peralihan endemik bukan alasan untuk ambil mudah mengabaikan prosedur operasi standard (SOP), malah sejak dahulu beliau seorang yang gemar mengelakkan diri berada di luar jika tiada mesyuarat mahupun latihan studio.

“Sejak dahulu saya cukup berhati-hati dan memastikan pemuzik serta kru patuh SOP. Saya sendiri ambil vitamin dan keluar rumah apabila perlu sahaja,” kata anak seni asal Negeri Sembilan itu.

Diminta berkongsi tip menjelang malam istimewanya, bagi menjaga stamina terutama ketika membawakan lebih 20 lagu tanpa henti, Hattan berlari sejauh lapan kilometer setiap hari.

“Sebelum ini saya selalu melakukan riadah dengan bermain golf atau berjoging tetapi tidak terlalu jauh, sekadar mengeluarkan peluh. Kali ini tambah sikit jarak.

“Bagi saya, untuk beraksi dalam konsert sebenar perlukan komitmen tinggi apatah lagi ingin berikan kenangan indah buat khalayak,” ulasnya.

Hattan bersama MEM sudah merancang konsert tersebut sejak dua tahun lalu, namun tergendala akibat penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Februari 2020.

Tiket persembahan mega yang disokong West Ipoh Span Expressway (WISE) tersebut dijual menerusi laman https://ilassotickets.com/event/hattan-35-years-journey/ dengan harga RM188, RM388, RM488, RM788 dan RM988.

Untuk rekod, Hattan yang turut aktif sebagai pelakon menghasilkan 11 album studio bermula dengan Nostalgia (1987), Hattan (1991), Antem (1992), Ana Permata Timur (1993), Mentor (1994).

Disusuli album Satu Malaya Dah Tahu (1996), Biso Bonar (1998), Aku Dan Mentor (2000), Palestin Jangan Menangis (2002), Masterpiece (2007) dan Inderawala (2010).

Hattan juga pernah bersama band FRU (Five Rockers Union) yang menghasilkan album Kelahiran (1988) selain menjadi penyanyi kumpulan Pratayuda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI