ROTTERDAM – Pengendali Feyenoord, Arne Slot bersikap merendah diri apabila memuji kredibiliti Ketua Jurulatih AS Roma, Jose Mourinho menjelang aksi final Liga Konferens Europa di Arena Kombetare awal pagi esok.
Slot, 43, mendakwa Roma lebih berkemampuan untuk memenangi gelaran kejohanan peringkat ketiga Eropah itu berdasarkan pengalaman hebat yang dimiliki Mourinho.
“Resume Mourinho membuatkan anda akan bimbang dengan kemampuan pasukannya. Beliau cukup dikenali sebagai individu yang telah memenangi banyak aksi final.
“Roma sentiasa bermain cemerlang dalam aksi-aksi penting terutama apabila di peringkat kalah mati kejohanan Eropah. Lihat sahaja kesebelasan utama Roma dan pemain-pemain di bangku simpanan,” katanya.
Biarpun memuji Mourinho, namun Slot sama sekali tidak cepat menyerah kalah kerana percaya pasukannya juga mampu menghadirkan kejutan untuk menjulang trofi keempat buat kelab itu di pentas Eropah.
“Kami fokus kepada taktik sendiri. Kami tidak perlu menghiraukan mengenai kemampuan pasukan lawan yang sememangnya lebih hebat jika dibandingkan dengan kami.
“Kami akui Roma adalah pasukan yang kuat kerana hanya pasukan terbaik layak ke final. Kami akan berikan segala-galanya untuk memenangi perlawanan ini,” jelasnya.
Sebagai rekod, Feyenoord yang masih belum kalah daripada 12 perlawanan Liga Konferens Europa musim ini, pernah memenangi dua gelaran Piala UEFA pada 1973/1974 dan 2001/2002 serta satu Piala Eropah edisi 1969/1970. – AGENSI