PUTRAJAYA – Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf bagi sesi akademik 2022/2023 boleh menyemak panggilan Ujian Inventori Pemilihan Pendidikan Malaysia (MEdSI) Program Pengajian Pendidikan masing-masing mulai esok.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi hantaran di Facebook berkata, semakan boleh dibuat mulai pukul 5 petang esok.
Menurutnya, ujian MEdSI akan bermula pada 1 Jun hingga 12 Jun ini.
“Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 013-415 3016 atau emel kepada [email protected],” katanya.
Katanya, semakan juga boleh dibuat menerusi portal rasmi universiti https://medsi.upsi.edu.my/kemasukan/temuduga/.
Jelasnya lagi, semakan bagi Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan adalah termasuk calon yang memohon Program Pengajian Pendidikan di Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.
Bukan itu sahaja, ia termasuk Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia.
Dalam pada itu, KPT memaklumkan, lepasan STPM juga boleh menyemak panggilan temu duga atau ujian Program Pengajian Bukan Pendidikan yang turut dibuka mulai esok.
“Calon yang memohon program pengajian bertemu duga atau ujian boleh melayari URL Universiti Awam terlibat,” katanya.- KOSMO! ONLINE.