PENYANYI dangdut terkenal Ayu Ting Ting memang diketahui sebagai selebriti Indonesia yang memiliki jumlah pengikut paling ramai dalam Instagram iaitu 51.6 juta orang.
Penampilan penyanyi berusia 29 tahun itu menarik perhatian netizen ketika dia mengadakan majlis kesyukuran untuk keluarganya yang berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah umrah Sabtu lalu.
Walaupun tampil dengan imej berhijab, Ayu dikecam hebat netizen kerana tidak menutup bahagian lehernya yang merupakan aurat bagi kaum wanita.
“Alhamdulillah. Syukur untuk majlis bersempena ibadah umrah yang akan dilakukan oleh kami sekeluarga,” tulisnya dalam Instagram.
Foto bersama keluarga yang dikongsi pelantun lagu Sambalado itu bagaimanapun kurang disenangi segelintir netizen apabila menyindir penampilan Ayu kerana tidak menutup aurat dengan sempurna.
“Niat memakai hijab. Tetapi bahagian lehernya sengaja ditunjuk?” kata seorang netizen.
“Maaf. Kalau mahu berhijab biar sempurna. Kalau begitu gayanya, baik tidak payah berhijab,” sindir seorang lagi netizen.
Walaupun mempunyai jumlah pengikut yang ramai dalam media sosial, Ayu juga turut dikenali sebagai selebriti Indonesia yang paling ramai ‘haters’.