GEORGE TOWN – Pengguna Jambatan Pulau Pinang dikenali sebagai Asri Perda mendapat pujian ramai hari ini apabila sekeping gambar memaparkan dirinya menumpangkan graduan yang terlewat ke majlis konvokesyen di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini dengan motosikal tular di media sosial hari ini.
Menerusi perkongsian pengguna media sosial melalui sekeping gambar, lelaki berkenaan yang mengenakan jaket hitam kelihatan menumpangkan graduan itu, R. Kevin sehingga ke Dewan Tuanku Syed Putra, USM.
Difahamkan, Asri yang dalam perjalanan dari Seberang Perai ke bahagian pulau telah bersimpati apabila melihat Kevin, 28, melambaikan tangan meminta bantuan pengguna jalan raya untuk menumpangkannya.
Ini kerana Kevin yang menaiki sebuah kereta bersama ibu bapanya bagi menghadiri Majlis Konvokesyen ke-59 di USM terperangkap dalam kesesakan jalan raya akibat kemalangan maut di atas Jambatan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, setakat ini identiti sebenar Asri yang dipercayai menunggang motosikal jenis Honda EX5 itu belum diketahui.
Menurut Kevin, dia tidak sempat berkenalan dengan individu berhati suci tersebut kerana perlu bergegas ke dewan konvokesyen.
“Saya tidak sempat berbual panjang dengan insan mulia tersebut kerana dalam keadaan tergesa-gesa, namun saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada beliau.
“Tanpa bantuan beliau, saya mungkin tak sempat merasa naik ke pentas pada hari ini (semalam),” katanya.
Semalam tular di media sosial sekeping gambar memaparkan Kevin yang mengenakan sut lengkap sambil memegang jubah dan mortar board konvokesyen USM berdiri di bahu jalan di Jambatan Pulau Pinang ekoran terperangkap dalam kesesakan.
Jambatan itu semalam mengalami kesesakan teruk apabila berlaku kemalangan maut membabitkan sebuah treler dan lori di Kilometer 8.6 arah pulau kira-kira pukul 5.15 pagi. – KOSMO! ONLINE