KUALA LUMPUR – Anak ketiga pasangan panda gergasi, Liang Liang dan Xing Xing, yang dilahirkan di Pusat Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara diberi nama Sheng Yi secara rasmi hari ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, nama yang diberi itu bermaksud keamanan dan persahabatan (peaceful and friendship).
“Kerajaan Malaysia berharap Sheng Yi akan dapat mengeratkan dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin antara Malaysia dan Republik Rakyat China,” katanya semasa menghadiri majlis Penamaan Anak Panda Gergasi Ketiga di Pusat Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menterinya, Datuk Ali Biju; Duta Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Presiden Malaysian Zoological Society (MZS), Datuk Sr. Zaharin Md. Arif dan, Timbalan Presiden MZS, Rosly@Rahmat Ahmat Lana.
Terdahulu, anak panda betina itu dilahirkan seberat 140 gram dan akan mencapai usia setahun pada penghujung Mei ini.
“Sheng Yi berada dalam keadaan sihat dan telah mencapai berat melebihi 27 kilogram.
“Sheng Yi mula dipamerkan kepada umum sejak Disember 2021,” ujarnya.
Kelahiran anak panda itu juga secara kebetulan jatuh pada tarikh genap 47 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan China.
Pasangan panda itu sebelum ini melahirkan anak panda pertama yang diberi nama Nuan Nuan pada tahun 2015 kemudian anak panda gergasi kedua yang dilahirkan pada tahun 2018 diberi nama Yi-Yi. – KOSMO! ONLINE.