KUALA LUMPUR – Seorang aktivis wanita menangis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik berhubung isu agama Kristian dalam laman profil Facebook miliknya, Mac tahun lalu.
Pada prosiding hari ini, tertuduh Wan Asshima Kamaruddin, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) menukar pengakuannya kepada bersalah pada perbicaraan kesnya hari ini di hadapan Hakim M. M Edwin Paramjothy.
Bagaimanapun mahkamah menetapkan 15 Jun ini bagi jatuh hukum dan pendengaran fakta kes sebelum hukuman dijatuhkan.
Mengikut pertuduhan Wan Asshima didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil miliknya ‘Puteri Mujahidah Wan Asshima Kamaruddin’ secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 9.23 pagi, 11 Mac 2021.
Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pukul 6.24 petang pada 13 Mac.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang, manakala Wan Asshima diwakili peguam Dorina Abdullah. – KOSMO! ONLINE