PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan wujudnya aktiviti penyelewengan membabitkan perolehan dalam perkhidmatan kesihatan.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, perkara itu tidak dihebahkan kepada umum namun, pihaknya telah melakukan siasatan lanjut mengenainya.
Beliau berkata, siasatan yang dilakukan antaranya membabitkan salah guna kuasa dalam agihan bantuan dan pakej rangsangan ekonomi.
“Siasatan turut dilakukan membabitkan penipuan berkaitan peralatan perlindungan perubatan yang dipalsukan (pelitup muka, sarung tangan dan lain-lain) dari segi kuantiti dan kualiti peralatan perubatan yang lebih rendah.
“Kami turut menyiasat aktiviti rasuah membabitkan pegawai penguat kuasa dalam barisan pasukan penguatkuasaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada pada Forum Antirasuah Malaysia ke-3 (MACF) di sini, hari ini.
Katanya, ia sesuatu yang menyedihkan kerana dalam keadaan kecemasan dan pandemik masih ada perolehan dan pembelian peralatan perubatan yang terpalit dengan rasuah.- KOSMO! ONLINE