MILAN – Pengendali AC Milan, Stefano Pioli mengakui pasukannya sudah boleh ‘bermimpi’ untuk kembali menjadi pasukan yang terbaik di Eropah selepas menamatkan penantian 11 tahun dengan bergelar juara Serie A musim ini.
Sebagai rekod, Milan tidak mempunyai masalah untuk meraih kemenangan 3-0 ke atas Sassuolo pada perlawanan terakhir liga semalam sekali gus mengekalkan status pendahulu dengan perbezaan dua mata berbanding pencabar utama, Inter Milan.
Kata Pioli, kemenangan tersebut sudah tentu melonjakkan motivasi pasukan dalam usaha kembali menjadi antara pasukan yang digeruni khususnya pada kempen Liga Juara-Juara musim depan.
“Kami adalah pasukan AC Milan yang penuh dengan sejarah serta tradisi tersendiri. Kini kami berjaya merampas kembali gelaran liga buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun.
“Fokus kini adalah untuk kembali memastikan Milan menjadi pasukan digeruni di rantau Eropah. Secara jujur, bukan mudah untuk meraih kejuaraan Serie A kerana pencabar seperti Inter, Napoli dan Juventus cukup berkualiti,” katanya.
Sementara itu, penyerang sensasi The Rossoneri, Zlatan Ibrahimovic mengakui tugasnya bersama Milan kini sudah selesai selain mendedikasikan kejuaraan Scudetto yang dimenangi kepada bekas ejen peribadinya, Mino Raiola.
“Ketika saya kembali bersama Milan pada 2019, ramai yang mengkritik keputusan bahawa sasaran saya untuk membantu kelab ini kembali digeruni tidak akan kesampaian, tetapi sebaliknya sudah berlaku.
“Kejuaraan ini juga dihadiahkan buat mendiang Raiola yang telah meninggal dunia bulan lalu,” katanya. – AGENSI